Tabarruj dan Perkembangan Fesyen Muslimah Masa Kini

Tabarruj dan Perkembangan Fesyen Muslimah Masakini

Sifat sukakan perhiasan dan memperlihatkan diri kelihatan cantik merupakan fitrah kejadian semua manusia. Sifat ini berkait dengan nilai estetika yang menyentuh tentang keindahan, mengenai bagaimana ia terbentuk dan bagaimana seseorang itu dapat merasakannya. Firman Allah dalam surah Al Imran ayat 14 bermaksud “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia”. Malah Rasulullah sendiri menyatakan Allah itu sangat cantik (indah) dan sentiasa menyukai kecantikan (H.R Muslim).

Kedua-dua ayat dan hadis di atas mengisyaratkan seseorang muslim boleh menghayati nilai estetika pada dirinya dalam konteks yang dibenarkan syarak. Abu al-Ahwas meriwayatkan daripada bapanya menceritakan pada suatu hari beliau bertemu dengan Rasulullah dengan berpakaian lusuh di mana Baginda menegur agar beliau memperelokkan penampilan diri. Sabda Baginda “Apabila Allah mengurniakan harta kepadamu, hendaklah kamu pamerkan nikmat dan kemuliaan yang Allah berikan kepadamu itu” (H.R Abu Dawud).

Menurut Imam al-Munawi dalam kitab Faydhul Qadir, cara mempamerkan nikmat itu seperti memakai pakaian yang sesuai dengan keadaan diri agar kelihatan cantik, kemas dan bersih. Pada masa sama wajib menjaga keikhlasan dan tidak melakukan pembaziran. Dapat dirumuskan di sini konsep kecantikan dan penampilan diri merupakan suatu amalan dibenarkan Islam yang tertakluk kepada beberapa syarat penting. Antara syarat tersebut ia mestilah berobjektifkan ibadat, tidak melakukan israf (pembaziran) seperti dalam ayat 31 surah al-A’raf, menjaga batasan aurat (al-Nur:31 ), etika pergaulan dengan bukan mahram (al-Nur:31), dan tidak menimbulkan pelbagai implikasi al-fasad kepada manusia seperti pendedahan aurat, pergaulan bebas lelaki dan wanita, perzinaan dan seterusnya keruntuhan rumahtangga. Sebarang penghayatan estetika dan manifestasi kecantikan yang terkeluar daripada skop di atas adalah diharamkan khususnya ke atas kaum wanita. Islam menamakan gejala negatif ini sebagai tabarruj.

Makna Tabarruj Masa Kini

Berdasarkan perbahasan pakar bahasa Arab dan sarjana Islam, tabarruj bermaksud fenomena pendedahan perhiasaan dan kecantikan wanita secara bebas untuk menarik perhatian kaum lelaki. Pada asalnya, tabarruj merupakan suatu gejala sosial pada zaman jahiliyyah yang banyak menyumbang kepada pelbagai kemungkaran sehingga al-Quran sendiri menyandarkan istilah tersebut kepada jahiliyyah sebagai tabaruj al-jahiliyyah (al-Ahzab: 33).

Semestinya amalan al-tazyiin (aplikasi perhiasan) yang disyariatkan Islam seperti menetapkan had aurat lelaki dan wanita, serta syaratnya termasuk menghadkan kategori lelaki yang boleh bergaul dengan wanita, suatu pendekatan Islam untuk membezakan wanita muslimah daripada elemen tabarruj. Hal ini memberikan signifikan jika penampilan pakaian yang menutup aurat tetapi masih tidak sempurna kerana terlalu ketat sehingga ternampak susuk tubuh atau nipis sehingga kelihatan warna dan anggota badan, yang dimanifestasikan pula melalui pelbagai jenama fesyen terkini, sudah tentu mengulangi amalan tabarruj jahiliyyah yang terlarang.

Salah Faham Tentang Aurat

Ramai kalangan kaum wanita termasuk pereka fesyen pakaian yang sering dilabelkan busana muslimah, hanya beranggapan kewajipan aurat adalah satu-satunya perkara disyariatkan Islam dalam kontek perhiasan diri. Lantaran itu fesyen pelbagai jenama dihasilkan di pasaran di mana kelihatan menarik minat ramai kaum wanita untuk dibeli bagi memenuhi keperluan kerjaya, pergaulan dengan rakan, undangan ke majlis versatile dan kenduri kendara. Maka tampillah jubah dan tudung muslimah yang pemakaiannya lebih komplikated dengan pelbagai aksesori berbanding perintah asal menutup aurat yang amat mudah dan tidak membebankan.

Sesungguhnya Islam adalah ajaran yang sederhan

a dan bersifat ‘mampu aplikasi’ oleh semua umatnya. Namun jika wanita terpaksa berbelanja lebih untuk menutup aurat agar kelihatan lebih anggun, perkara ini ditolak Islam kerana sudah membebankan pengguna lain yang kurang berkemampuan.

Walaubagaimana pun, kita bersyukur kepada Allah kerana kesedaran menutup aurat telah meningkat di kalangan kaum wanita di Malaysia termasuk ramai seleberiti tanahair sudah mula memakai tudung. Namun seperti yang dikatakan konsep perhiasaan Islam bukan sekadar memakai tudung dan menutup aurat sahaja. Ia melangkaui kefahaman singkat ini di mana objektif sebenar yang ditekankan ialah untuk menghapuskan gejala tabarruj jahiliyyah melalui penutupan susuk badan dan anggota wanita, penampilan aksesori wanita yang memberahikan, dan haruman yang menggoda kaum lelaki. Justeru itu setiap pemakaian tudung atau sebarang ‘pakaian muslimah’ tetapi masih menonjolkan ciri-ciri negatif ini, merupakan satu kesalahan menurut etika pemakaian dan perhiasan Islam.

Wajah Tabarruj Moden

Penutupan aurat disyariatkan Allah sebagai satu kewajipan yang mendekatkan umat Islam kepadaNya dan pada masa sama dapat menjauhi pelbagai unsur kefasadan yang dimurkaiNya. Ia bukan sekadar fesyen, jenama atau trend semasa (walaupun dibenarkan pada masa tertentu). Namun apabila oreintasi fesyen mengatasi nilai ibadat sehingga penampilan wanita dengan pakaian muslimah ‘terkini’ lebih anggun dan seksi berbanding wanita ‘free-aurat’, keadaan seperti ini sudah pasti bertentangan dengan objektif asal penutupan aurat.

Kita khuatir jika fenomena tabarruj moden ini tidak diawasi dengan berhikmah, dunia ‘fesyen muslimah’ semakin berani dengan segala kreativiti dan inovasinya membawa wanita khususnya kepada tarikan syahwat lelaki, dalam bentuk berjubah dan bertudung pula.Apatah lagi di luar sana, sudah sedia ada wanita tidak menutup aurat, berpakaian nipis dan hanya menutup susuk tubuh mereka seminima mungkin. Ironinya, kaum wanita masih menjadi maskot fitnah walaupun sudah berjubah dan memakai tudung.

Walaupun tiada bukti secara saintifik, saya beranggapan faktor penampilan dan pemakaian (bukan semuanya) turut menyumbang kepada maksiat dan dosa. Kita sudah biasa menyaksikan setiap hari kebanyakan wanita memakai seluar dan pakaian kasual seperti lelaki dan yang membezakan antara kedua-duanya hanyalah tudung di atas kepala. Walaupun tidak salah berseluar, tetapi jenis dan bentuk seluar wanita haruslah sesuai dengan kewanitaannya selain tidak ketat, tidak jarang dan menyembunyikan beberapa susuk anggota yang ‘sensasi’. Sesetengah wanita memakai baju-T,walaupun bertudung tidak menyedari ada kalanya dia menampakkan aurat lengan dan sedikit anggota bahagian dalaman sewaktu mengangkap tangan. Saya tidak pasti apakah masih ada lelaki yang tidak mempunyai ‘respon hati+nafsu’ sewaktu melihat penampilan wanita seperti ini?. Jika ada, sungguh beruntung ibu bapa yang melahirkan lelaki tersebut.

Keadaan lebih parah terdapat sesetengah kaum lelaki yang berperwatakan lembut seperti wanita mengenakan pakaian dan alat solek feminin seperti gincu, parfume, tas tangan dan kasut. Menurut satu laporan (Mingguan Malaysia,11 March 2012), gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Malaysia meningkat secara mendadak. Paling mengejutkan daripada 10 lelaki, 3 adalah gay. Itu tidak termasuk pondan. Di sesetengah tempat 5 daripada 10 lelaki adalah gay. Sebelum itu, dalam satu kajian dijalankan di sebuah IPTA (Farahwahida & Sh. Munirah, 2010), faktor pakaian, fesyen, kurang kasih saying antara punca wujudnya lelaki lembut. Nampaknya kita tidak boleh memandang enteng pada pengaruh pakaian dan fesyen yang berkaitan dengan penampilan imej seseorang.

Industri Fesyen Perlukan Pandangan Pakar Hukum

Saya berpendapat, syarikat rekaan fesyen dan pakaian perlu mempunyai penasihat syariah atau mendapatkan pandangan hukum terlebih dahulu bagi mengawal design, bentuk, dan model pakaian tertentu sebelum di’endorse’ sebagai pakaian muslimah di samping mempastikan ia selari dengan objektif perhiasaan Islam. Sekurang-kurangnya, industri rekaan fesyen muslimah di Ma

laysia tidak menjadi seperti syarikat asing yang mengeksploitasi wanita cantik dan mementingkan keuntungan semata-mata (profit maximization) di sebalik perniagaan mereka.

Selain itu, para pengguna juga harus ingat pemakaian tudung bukan hanya suatu peralihan imej tetapi mesti disertai peralihan pemikiran dan budaya Islami. Para peniaga busana muslimah akan diredai Allah sekiranya berniat perniagaan tudung dan butik pakaian mereka untuk merealisasikan perintah Allah ke atas kaum hawa serta berkerjasama membasmikan unsur tabarruj jahiliyyah pada zaman ini yang semakin menjadi-jadi.

Kesimpulannya, penghayatan estetika dalam Islam adalah persoalan bagaimana seseorang itu menempatkan dirinya sebagai sebaik-baik muslim ketika menggunakan nikmat kecantikan, kemewahan dan kesenangan yang dikurniakan Allah SWT. Nikmat-nikmat itu merupakan ujian dari Allah SWT untuk menentukan siapakah muslim terbaik untuk memperolehi keredaanNya di akhirat kelak.

Dimensi penghayatan estetika Islam melibatkan hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia termasuk dengan diri sendiri, malaikat, jin, haiwan serta dengan alam sekitar. Di samping merangkumi aspek-aspek berkenaan, skop penghayatan estetika mesti memenuhi elemen al-taharah (kebersihan), at-tarteeb (keteraturan) dan al-zeenah (perhiasan) ke arah matlamat penciptaan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT. Wallahu’alam.

Akhir kalam, marilah kita merenung firman Allah bermaksud :

“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)” (Al-A’Raf : 32).

Dr HK

* Saranan terhadap lambakan design tudung, jubah dan busana muslimah yang semakin ‘mengancam’ dan ‘menggoda’ غض البصر.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s