Meribakan Sedekah

[MERIBAKAN SEDEKAH]

Bismillah

Riba merupakan antara dosa yang amat besar ancamannya. Imam Malik bin Anas rh berkata :

“Telah ku membuka lembaran-lembaran Kitab Allah dan Sunnah Nabi SAW dan tidak ku dapati (dosa) yang lebih buruk dari Riba, kerana Allah SWT dalam mengistiharkan atau mengizinkan perang ke atasnya”

( Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 3/364 )

Kali ini saya cuba untuk berkongsi sedikit berkenaan satu firman Allah SWT, iaitu:

يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ ۗ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ كَفَّارٍ أَثِيمٍ

Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.[Surat Al-Baqarah 276]

Di dalam ayat ini terdapat dua bab yang menjadi perbahasan utama dalam sistem kewangan Islam. Pertama riba dan kedua sedekah.

Bab 1: Riba

Malaysia merupakan sebuah negara yang sangat bergiat aktif dalam membangunkan institusi kewangan Islam seperti bank, koperasi, takaful, ar-rahnu, zakat, waqaf dan sebagainya. Bahkan Malaysia juga merupakan negara pengeluar sukuk terbesar dunia. Sukuk (atau bon) yang berada di bawah kawalan Suruhanjaya Securiti ini telah menghasilkan 69% daripada keseluruhan keluaran global iaitu AS$58 bilion (RM185.6 bilion) pada tahun 2011. Jumlah tersebut terus meningkat sekalipun bon konvensional masih mendominasi secara gergasi.

Oleh itu usaha murni dalam memperkasakan sistem tanpa riba, gharar dan maysir ini perlu disokong sepenuhnya. Kepercayaan dan keyakinan terhadapat sistem tanpa riba perlu terus dibina dan ditanam dalam jiwa setiap masyarakat khususnya umat Islam sendiri yang masih ramai meragui kekuatan agama mereka sendiri.

Masih wujud ribuan misteri dalam karangan ulama’ silam yang boleh menginovasikan sistem kewangan yang sedia ada. Kewangan Islam bukan hanya sekadar bai’, ijarah, hibah, wakalah, kafalah, wadi’ah yang termaktub dalam kitab fiqh muamalat semata-mata. Ianya lebih luas daripada itu. Tapi usaha untuk permantapan tersebut perlu gabungan daripada tenaga pakar dalam bidang syariah dan pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan. Sebab itu lahirnya majlis penasihat syariah dalam institusi kewangan adalah satu penubuhan yang sangat positif. Di samping melakukan proses ‘scanning’ sistem yang sedia ada, mereka juga menjadi satu badan yang berusaha mencari alternatif dan menginovasikan sistem Islam yang termaktub di zaman silam supaya sesuai yang zaman sekarang.

Ingatlah riba banyak merosakkan dunia kewangan kita sehingga sekarang. Lihatlah walaupun semakin bertambah kemajuan ekonomi, tetapi kadar kemiskinan tidak berkurang, bahkan bertambah dek kerana hidup kita telah dihimpit oleh sistem riba yang tiada kebaikan. Sebagaimana firman Allah يَمْحَقُ اللَّهُ الرِّبَا.

Sokonglah usaha menghapuskan sistem riba. Bekerjasamalah dalam membina dan mengembangkan sistem kewangan Islam. Mudah sahaja untuk bekerjasama, iaitu dengan membuat simpanan dalam perbankkan Islam.

Bab 2: Sedekah

Sedekah wajib = zakat

Sedekah tatawwuq = sedekah & waqaf

Usaha menghapuskan riba semata-mata belum lagi memenuhi tuntutan ayat ini. Ianya perlulah disusuli dengan وَيُرْبِي الصَّدَقَاتِ. Allah SWT telah menggunakan kalimah يربي yang juga merupakan musytaq daripada kalimah riba membawa maksud ziyadah atau tambahan. Adakah maksud Allah meribakan sedekah di sini ialah halal untuk bersedekah hasil pendapatan riba? Semestinya TIDAK! Ianya berbeza dengan riba yang diamalkan dalam kewangan sesama manusia yang mempunyai unsur penindasan.

Riba dalam konteks ini ialah satu ganjaran tambahan daripada Tuhan kepada hambaNya. Tambahan secara material di dunia dan keberkatan untuk akhirat. Kita sudah sedia maklum akan tambahan nilai-nilai keberkatan. Namun benarkah sedekah juga mampu menambah nilai material di dunia?

Bagi menjawab persoalan ini, mari kita imbas kembali sejarah sahabat Nabi saw, saidina Uthman bin Affan membeli telaga daripada seorang yahudi. Telaga tersebut kemudian beliau waqafkan kepada umat Islam. Apa yang menakjubkan harta waqaf tersebut masih lagi mengalir sehingga sekarang dengan terbinanya bangunan di atas tanah tersebut yang disewakan pada zaman sekarang. Hasil pendapatan tersebut telah mewujudkan satu account Saidina Uthman yang digunakan untuk maslahah umat Islam seperti pendidikan. Saksikanlah bagaimana manfaat sedekah pada zaman permulaan Islam melebihi 1400 tahun lalu semakin bertambah dan berkembang sehingga sekarang! Inilah yang saya dimaksudkan dengan MERIBAKAN SEDEKAH.

Oleh itu di samping usaha untuk menghapuskan sistem riba, penambahbaikan terhadap sistem zakat, waqaf dan sedekah perlu diperkasakan. Dalam ceramah maghrib Ustaz Nazri Chik pada 2/2/2017 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, beliau menegaskan supaya usaha ini bakal menjadi fokus utama dalam jangka 30 tahun akan datang, di mana sistem tanpa riba mungkin telah mencapai tahap kematangannya untuk mula memberi fokus kepada sistem sedekah.

Persepsi Tiada Beza Riba dan Tanpa Riba

Inilah salah satu salah faham dalam masyarakat Islam sendiri. Nampak serupa tidak semestinya sama. Contoh situasi antara seorang lelaki dan seorang nelayan:

Contoh A

“Saya akan beli ikan yang AKAN pakcik tangkap hari ini dengan harga RM100”.

Contoh B

“Saya akan upah pakcik hari ini untuk pergi tangkap ikan dengan UPAH RM100”.

Orang yang jahil akan mengatakan ianya sama sahaja RM100. Sedangkan sebenarnya contoh A telah berlaku akad jual beli ma’dum yang mempunyai unsur gharar kerana barang yang hendak dibeli masih belum wujud. Hasil tangkapan ikan boleh jadi rugi, boleh jadi tidak. Islam menegah perkara ini dengan tegas.

Manakala contoh B telah berlaku akad ijarah al-asykhas iaitu memberi ujrah (upah) bekerja atas perkhidmatan dia untuk menangkap ikan, bukannya jual beli hasil tangkapan.

Masalah masyarakat kita ialah mereka menurunkan tandatangan tanpa membaca surat perjanjian. Maka lahirlah kejahilan sehingga menuduh bermacam-macam.

Ingatlah jual beli tidak sama dengan riba. Allah swt berfirman:

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang DIRASUK Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu SAMA SAHAJA seperti riba”.

[Surat Al-Baqarah 275]

Hapus riba hidup bahagia

Amal sedekah hidup barakah

Wallahu’alam

Mohd Nurhisyam bin Talang

Tahun 2

Sarjana Muda Pengurusan Muamalat

Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s