Perihal WINS siri 4

PERIHAL WINS 2051 (SIRI 4)

❄❄❄❄❄❄❄

HURAIAN AYAT-AYAT RUJUKAN

Sesuai dengan dengan rujukan utama PAS iaitu Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas, PAS menjadikan empat ayat dari al-Quran sebagai rujukan WINS 2051. Kesemua ayat ini membincangkan tentang kenegaraan dan pemerintahan:

1. Firman Allah SWT:

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَنْ يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِنْ رِزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!.

[Saba’:15]

Ayat ini menerangkan kisah berkaitan kaum Saba’, kaum daripada bangsa arab yang mendiami Yaman dan mendirikan kerajaan purba di sana. Allah memberikan kepada kaum tersebut nikmat yang hebat berupa dua kumpulan kebun yang subur menghijau. Mereka juga mendirikan bangunan yang hebat dan megah. Mereka memiliki segala kemewahan hidup.

Lalu Allah memerintahkan mereka untuk bersyukur kepadaNya. Supaya mereka melengkapkan kesempurnaan kurnia tuhan, iaitu kurnia negeri yang baik, dan kurniaan keampunan.

Inilah dia ciri negeri yang ingin ditegakkan dalam WINS 2051. Bukan sekadar negeri makmur, sejahtera dan maju yang menjamin kesenangan kepada rakyat, tetapi juga negeri yang dirahmati dan diampunkan oleh Allah SWT. Ini kerana negeri yang tidak menerima rahmat dan keampunan Allah, akan dibinasakan oleh Allah sebagaimana yang dikisahkan mengenai kaum Saba’, dalam sambungan ayat di atas. Negeri yang tidak menerima rahmat Allah tidak akan aman dan selamat, terdedah kepada malapetaka dan bencana tanda kemurkaan Ilahi.

2. Firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

[Al-A’raf:96]

Ayat di atas pula menerangkan berkenaan dua syarat bagi mendapatkan limpahan keberkatan Allah atas sesebuah negeri iaitu beriman dan bertaqwa. Beriman maksudnya mempercayai segala yang dibawa oleh Islam dengan hati, percakapan dan perbuatan. Taqwa pula adalah mengikut segala perintahNya dan meninggalkan segala amalanNya.

Maka WINS 2051 menerapkan dua unsur ini. Prinsip pertama daripada 10 prinsip WINS adalah ‘pematuhan kepada prinsip dan penyelesaian berasaskan Islam’. Kunci capaian pertama daripada 6 kunci capaian WINS 2051 pula adalah ‘Pengukuhan Insaniah dan Penghayatan Nilai Taqwa’.

Kurniaan yang diberikan Allah datang daripada dua jalan. Turun dari langit berupa air yang menjadi sumber segala hidupan. Juga udara yang sangat penting bagi manusia, binatang dan tumbuhan. Juga cahaya yang mengimbangi kelestarian alam.

Keluar dari bumi pula berupa tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber makanan manusia dan binatang, selain turut menghasilkan bahan-bahan asas pembinaan, kejuruteraan dan sebagainya. Seterusnya galian seperti emas, perak, logam, petroleum dan batu permata yang menjadi bahan penting bagi sebuah masyarakat madani. Termasuklah juga hasil laut yang belum lagi diteroka sepenuhnya.

3. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya k

amu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

[Al-Hujurat:13]

Ayat ini pula menjelaskan prinsip Islam tentang perkauman. Secara asasnya, Islam mengiktiraf kedudukan kaum di dalam masyarakat. Setiap kaum memiliki kelebihan dan kekurangan tersendiri. Budaya dan adat setiap kaum harus dipelihara sebaiknya. Tidak wajar dihapuskan atas nama modenisasi.

Walaubagaimanapun, kaum bukanlah ukuran bagi menentukan martabat tinggi dan rendah manusia di sisi tuhan. Tidak ada beza antara arab atau ajam, melayu mahupun bukan.

Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara majmuk, faktor kaum adalah perkara penting yang perlu diuruskan dalam menjamin kestabilan negara. WINS 2051 memandang serius perkara ini. Oleh itu kontrak sosial yang termeterai sejak kemerdekaan Malaysia perlu dipertahankan.

Salah satu prinsip WINS 2051 adalah menerapkan ‘kehidupan beragama sebagai asas kestabilan dan keharmonian antara kaum’. Salah satu teras pendekatan WINS 2051 pada fasa pertama juga terletak pada aspek sosiobudaya, dengan program induknya adalah ‘pengharmonian hubungan antara kaum dan agama, penekanan nilai hidup beragama dan adab timur.’

Penekanan WINS 2051 terhadap pembinaan nilai insan dan beragama sebagai tunjang kesejahteraan sesebuah negara adalah sesuatu yang istimewa kerana kebanyakan pelan kemajuan negara yang sedia ada di Barat mahupun Timur hanya memberi penekanan kepada nilai ekonomi serta fizikal semata-mata. Perkara ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam siri akan datang.

4. Firman Allah SWT:

الَّذِي أَطْعَمَهُمْ مِنْ جُوعٍ وَآمَنَهُمْ مِنْ خَوْفٍ

Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.

[Quraysh:4]

Ayat ini adalah penjelasan kepada orang Quraisy yang diseru untuk menyembah Allah. Menyebutkan tentang dua nikmat besar yang diberikan Allah kepada mereka selama ini iaitu selamat dari kelaparan dan ketakutan.

Secara tidak langsung, ayat ini juga telah memberi pengajaran bahawa hakikat kesejahteraan sesebuah negara bergantung kepada dua aspek, iaitu kecukupan bekalan makanan, dan keamanan. Jika kedua aspek ini dicapai, maka rakyat akan hidup senang dan tenang. Aktiviti seharian juga akan berjalan lancar. Masalah yang berlaku dalam negara hari, dan mana-mana negara yang bermasalah di dunia ini adalah kerana kepincangan pada dua aspek yang berkait antara satu sama lain ini.

Pertama kerana terdapat golongan yang tidak cukup makan, golongan fakir miskin yang tidak mampu menyara hidup. Faktornya kerana peningkatan kos sara hidup akibat pengurusan ekonomi yang tidak bijak. Kemiskinan mengheret manusia kepada jenayah demi untuk meneruskan kehidupan. Timbul jenayah, keamanan pula yang terjejas.

Kedua adalah masalah keamanan. Ada negara yang dilanda peperangan. Ada negara yang dihantui dengan kadar jenayah yang tinggi. Negara yang tidak aman akan menjejaskan aktiviti ekonomi, menyebabkan pengangguran dan akhirnya meningkatkan kadar kemiskinan.

Maqasid Syariat dalam pentadbiran negara Islam adalah bagi menangani kedua faktor ini. Justeru WINS 2051 menjadikan ayat ini sebagai rujukan dasar sebelum meneroka khazanah-khazanah syariat yang lain bagi menjayakan kedua faktor ini. Kerana itulah kebanyakan program-program induk WINS 2051 seawal fasa pertama menekankan berkenaan pengurusan ekonomi dan sosial, membasmi kemiskinan, kedaulatan makanan, memerangi jenayah, dan mempertingkatkan tahap keselamatan luar dan dalam negara.

Disamping empat ayat rujukan utama ini, terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang dijadikan panduan. Kesimpulannya, WINS 2051 berpegang teguh kepada al-Quran dan sumber syariat Islam yang lain dalam menguruskan negara. Tidak ada satupun yang direncakan bercanggah dengan peruntukan al-Quran. Kerana ianya adalah sebaik-baik rujukan dan sebaik panduan.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ أ

َرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنْزَلْنَا مَعَهُمُ الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ ۖ وَأَنْزَلْنَا الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَنْ يَنْصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ ۚ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-samamereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.

[Al-Hadid:25]

2 Safar 1439

22 Oktober 2017

(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:

telegram.me/AlangIbnShukrimun

Facebook:

fb.com/AlangShukrimun

#AiSPolitik

#SiriWINS2051

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s