Naratif Nusantara siri 20

*Memahami Naratif Modenis dan Naratif Salafi Abad 20 Sebagai Reaksi Terhadap “Kejumudan” dan “Kesesatan” Naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah*

(NARATIF NUSANTARA SIRI 20)

Dr Amran Muhammad

Pertembungan naratif-naratif kelompok intra-Islam atau sesama Muslim yang berlaku dalam dunia umat Islam hari ini termasuk di negara kita hanya dapat difahami dengan lebih jelas melalui penelitian terhadap sejarah perkembangan naratif-naratif tersebut. Kefahaman terhadap asal-usul dan evolusi idea-idea yang membentuk sesebuah naratif meliputi pelbagai faktor seperti situasi setempat, latarbelakang ilmu, geo-politik, keadaan politik, ekonomi, sosial, budaya dan pendidikan masyarakat dan juga peranan dan sumbangan idea-idea dari luar kesemuanya mempengaruhi pembentukan naratif-naratif kelompok tersebut.

Dua naratif Islam yang asertif lagi agresif dari kelompok minoriti tetapi dominan umat Islam yang hanya muncul di abad ke 20 yang baru berlalu ialah Naratif Modenis dan Naratif Salafi. Pelbagai nama telah diberikan kepada Naratif Islam kelompok vokal ini termasuklah Islam Liberal, Islam Progresif, Islam Demokrat dan terbaru Neo-Muktazilah bagi mewakili Naratif Modenis; manakala Naratif Salafi diwakili oleh kelompok Islam Literal, Islam Haraki, Ahli Sunnah, Ahli Hadith, Ahli Athar, Wahhabiyyah dan juga Neo-Khawarij. Penamaan ini meskipun tidak tepat sepenuhnya masih tetap memiliki kebenaran dari sudut-sudut persamaan ciri-ciri Naratif-Naratif tersebut.

Kedua-dua Naratif Modenis dan Salafi ini lazimnya mempertentangkan diri mereka terhadap kelompok yang mewakili Naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah yang juga dinamakan Islam Tradisional, Islam Konservatif atau Islam Ortodoks yang mewakili majoriti umat Islam (melebihi 80% umat Islam) yang terbit seawal abad ke 2-3 Islam yang berpegang kepada Akidah Asha’irah-Maturidiyyah, Fekah 4 Mazhab dan Amalan Tasawuf. Dalam konteks Negara Malaysia dan Alam Melayu Nusantara, Naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah diwakili oleh akidah Asha’irah, Fekah Syafi’iyyah dan Tasawuf Al-Ghazali. Secara umumnya Naratif Modenis dan Naratif Salafi akan mendakwa Naratif Ahli Sunnah Wal Jamaah ini sebagai punca “kejumudan” umat khususnya bagi kelompok Modenis dan punca “kesesatan” bagi kelompok Salafi.

Bagi Generasi Baru Umat Islam Abad ke 21, pencerahan sejarah terhadap latarbelakang Naratif-Naratif Modenis, Salafi dan Ahli Sunnah Wal Jamaah setidak-tidaknya akan membantu mereka membuat penilaian terhadap keupayaan Naratif-Naratif tersebut menggarap kemelut dalaman yang menimpa umat serta menangani cabaran luaran yang sedang dihadapi sekarang ini. Paling penting dalam konteks Islam sebagai sebuah Agama Yang Membina Peradaban sejauhmanakah Naratif-Naratif ini berupaya menyediakan dasar-dasar epistemologi-faham ilmu, ontologi-faham kewujudan, praksiologi-faham tingkah-laku, aksiologi-faham nilai dan futurology-faham visi masadepan yang merupakan komponen-komponen utama dalam pembentukan setiap peradaban dahulu sehingga sekarang.

Bermula kira-kira 100 tahun yang lalu ketika kebanyakan wilayah dan daulah Islam berada dikemuncak penjajahan Barat yang disertai dengan kemerosotan kekuatan politik dan agama Khilafah Uthmaniyyah, muncul pelbagai kesedaran baru untuk mengeluarkan umat Islam dari belenggu penjajahan politik dan kemelut kemerosotan agama ini. Antaranya termasuklah kemunculan Gerakan Politik Pan-Islamisme Jamaluddin al-Afghani bertujuan menyatukan kekuatan politik umat bagi menentang penjajahan, Revolusi Orang Arab Sharif Hussain bertujuan membebaskan wilayah dan daulah Arab dari penguasaan Khilafah Uthmaniyyah dan juga Gerakan Dakwah Najdiyyah Ibn Saud yang berasal dari pedalaman Semenanjung Arab berdasarkan ajaran Muhammad bin Abdul Wahhab yang beranggapan kebanyakan umat Islam berada dalam kesesatan, kesyirikan dan kekufuran.

Penelitian terhadap peranan dan pengaruh Gerakan Politik Pan-Islamisme Jamaluddin al-Afghani, Revolusi Orang Arab Sharif Hussain dan Gerakan Dakwah Najdiyyah Ibn Saud sangat mustahak bagi kita mengetahui titik-tolak perkembangan yang berlaku dalam dunia umat Islam dari awal abad ke 20 yang meninggalkan kesan sehingga ke hari ini. Misalnya naratif politik konspirasi Barat menjajah umat Islam yang dimanifestasikan melalui kes Bumi Palestin perlu juga dilihat berpunca dari Revolusi Orang Arab menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah dengan bantuan British menghasilkan ‘pemfaraidan’ tanah-tanah Arab naungan Khilafah Uthmaniyyah melalui Perjanjian Sykes-Picot 1916 berkesudahan dengan Deklarasi Balfour 1917 yang mewujudkan Negara Yahudi di Bumi Palestin. Tanpa Revolusi Orang Arab menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah yang menerbitkan Negara Yahudi, mungkin nasib umat Palestin tidak seperti hari ini.

Kembali kepada perbincangan kita mengenai Naratif Modenis dan Naratif Salafi; dari kenyataan sejarah Naratif Modenis Abad ke 20 terbit dari cetusan Gerakan Politik Pan-Islamisme Jamaluddin al-Afghani di Timur Tengah khususnya di Mesir, manakala Naratif Salafi Abad ke 20 timbul dari cetusan Gerakan Dakwah Najdiyyah Ibn Saud dari ajaran Muhammad bin Abdul Wahhab di Arab Saudi. Meskipun sudah tentu terdapat faktor-faktor lain dan aktor-aktor lain yang terlibat dalam pengasasan atau pembentukan Naratif Modenis dan Naratif Salafi ini, tidak siapapun boleh menafikan peranan dan sumbangan utama Gerakan Politik Pan-Islamisme yang dimulakan oleh Jamaluddin al-Afghani, yang dirancakkan oleh Muhammad Abduh dan muridnya Rashid Rida sebagai pelopor Naratif Modenis Islam Abad ke 20. Begitu juga tidak sesiapapun boleh menolak peranan Keluarga Ibn Saud yang berpakat dengan Keluarga Muhammad bin Abdul Wahhab melalui Negara Arab Saudi sebagai pemangkin Naratif Salafi Islam Abad ke 20.

Satu pengajaran bagai usaha pembinaan Naratif Nusantara, bahawa faktor dan aktor tempatan sangat mempengaruhi pembinaan Naratif-Naratif Modenis dan Salafi. Dalam ertikata yang lain Naratif-Naratif ini terbit dan tumbuh dalam konteks zaman dan lingkungan tertentu yang kemungkinan tidak sesuai dalam konteks zaman dan lingkungan kita di Nusantara. Begitu juga sebarang usaha memaksakan Naratif-Naratif Modenis dan Salafi diterimapakai dalam konteks masyarakat dan umat di Nusantara juga bakal mengundang pertembungan dan kesenjangan dengan Naratif yang sedia ada disini.

Dalam kita menilai “viability” dan “sustainability” sesebuah naratif, sewajarnya kita memiliki kriteria tertentu khususnya dalam mengungkapkan Islam sebagai sebuah Agama Peradaban dan Sistem Kehidupan di Abad ke 21 ini. Misalnya perlu dikenalpasti 1) Naratif yang memiliki khazanah intelektual yang luas dan mendalam yang tokohnya, karyanya dan kandungannya terbukti bermanfaat untuk umat sehingga ke hari ini (Epistemologi dan Ontologi); 2) Naratif yang memiliki Kaedah dan Metodologi yang sistematik dan konsisten yang berjaya membina disiplin-disiplin ilmu dan bidang penyelidikan yang pelbagai yang terbit dari Naratif tersebut (Metodologi); 3) Naratif yang berupaya menghasilkan Kesan dan Penyelesaian Praktikal terhadap persoalan dan cabaran keagamaan dan keduniaan umat Islam sepanjang sejarahya (Praksiologi); 4) Naratif yang berupaya menghubungkan umat Islam dengan akar, asas dan asal Al-Qur’an dan Al-Sunnah serta kefahaman Zaman Awal Islam dengan realiti kehidupan semasa dan juga menyediakan mereka menghadapi masadepan (Futurologi); dan 5) Naratif yang berupaya memberi nilai-nilai Ketuhanan yang menjadi rujukan bukan hanya kepada umat Islam tetapi juga menyumbang kepada pembinaan nilai-nilai peradaban insan (Aksiologi).

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s