Penyakit Orang Belajar

PENYAKIT ORANG YANG BELAJAR
1. Penuntut ilmu hari ini terlalu ingin cepat terkenal (حب الشهرة/حب الجاه/حب الظهور). Perasaan ingin mulia dikalangan penuntut-penuntut ilmu yang lain membuak-buak dalam diri. Sehingga tanpa segan mengangkat bakul sendiri. Memuji dan menceritakan perihal diri pada orang lain. Bahkan suka mendengar dan berasa aman dengan pujian manusia terhadapnya. 
2. Bila banyak hadir ke majlis pengajian masyaikh, dia berasa dialah paling rajin mengaji. Bila khidmat dengan masyaikh, dia berasa dialah paling rapat dengan masyaikh. Bila jadi tukang update majlis masyaikh, dia berasa dialah paling up-to- date. Ada juga, mulut gemar mengkritik orang lain, dengan perasaan semoga hujahku ini memukau hati orang yang membacanya. Lalu aku terkenal sebagai seorang pembela akidah dan mazhab. Semakin bertambah likers dan followers. Semakin hormat orang pada aku. 
قال النبي صلى الله عليه وسلم :

‘ما ضل قوم بعد هدى كانوا عليه إلا أوتوا الجدل’.

“Tidak ada kaum yang disesatkan selepas mendapat hidayah kecuali mereka mula melibatkan diri dengan perdebatan”. 
3. Ada juga yang gemar menulis diruangan fb akan perihal yang tinggi-tinggi, dengan perasaan supaya manusia menyangka ilmunya tinggi dan tidak dikecapi oleh orang lain. Maka dia berasa semakin mulia dan mahsyur disisi manusia. 
4. Sedang kita tidak tahu kedudukan kita disisi Allah SWT. Semakin kita ingin akan kemuliaan dengan kesombongan. Semakin kita dihinakan oleh Allah. 
5. Sayyidina Umar رضي الله تعالى عنه berkata : “Apabila seseorang hamba memilih sifat tawadho’, maka Allah SWT akan tinggikan kedudukannya. Allah SWT akan berfirman kepadanya : “Jadilah engkau mulia !”. Dan apabila seseorang hamba memilih untuk menyombong diri dan melampaui batas, maka Allah SWT akan merendahkan kedudukannya. Allah SWT berfirman kepadanya : “Jadilah engkau hina !”. Maka jadilah orang yang bersifat takbur itu pada pandangan dirinya sendiri berasa mulia tetapi pada pandangan orang lain dia menjadi begitu hina sehingga dia menjadi begitu hina daripada khinzir”.
من تواضع لله رفعه الله
Barangsiapa yang tawadho kerana Allah, pasti Allah akan meninggikannya (disisi Allah).
6. Para masyaikh dan imam kita sewaktu tempoh belajar, mereka jauh sekali dari sifat tercela ini. Sentiasa merendah diri dan merasa hina. Sehingga nama imam itu sendiri pun masih lagi diperselisihkan dek jauhnya mereka dari kemahsyuran sewaktu hidup. Seperti halnya alImam Sonhaji alAjurumy, sohib bagi matan alAjurumiyah. Sewaktu beliau hidup, umat tidak mengenali sosok tubuh beliau kecuali setelah kewafatannya. Namun kitab beliau diistifadah, dibaca dan dikhidmat seluruh umat berterusan sehingga kini, menunjukkan maqbulnya karangan beliau disisi Allah SWT. Begitu juga Uwais alQarni, sang wali, hamba kepada ibu. Sosok tubuh yang tawadho’ lagi mulia. Tidak pernah mahsyur dikalangan penduduk bumi sewaktu hayatnya, akan tetapi disisi penduduk langit, bagaikan bulan purnama yang menerangi alam. Tidak kurang juga para imam kita yang langsung tidak terkenal sewaktu hayat mudanya melainkan sesudah usia tuanya seperti alImam Mutawali asSya’rawi. Ditambah lagi mereka yang langsung tidak dikenali walaupun sesudah wafat, tetapi hasil karangan dan ideanya tersebar sehingga kini.  
7. Bahkan diriwayatkan daripada Sofwan bin Umar bahawa seorang tabi’in, asSyeikh Ahli Syam, alImam Khalid bin Ma’dan ketikamana besar halaqahnya, kerana terlalu ramai pelajar, maka beliau akan berdiri dan keluar dari majlis tersebut. Maka ditanya oleh seseorang kepada Sofwan Bin Umar akan tindakan alImam Khalid bin Ma’dan. Beliau berkata : Sesungguhnya dia (alImam Khalid bin Ma’dan) benci akan kemasyhuran.
8. AlImam azZahabi juga pernah berkata (mualaqan) : “Wajib bagi si Alim bercakap dengan niat yang suci dan ikhlas. Jika terujub dengan cakapannya, maka diam. Jika terujub dengan diamnya, maka bercakap. Sambung alImam : “Maka jangan pernah berhenti dari muhasabah akan dirinya. Kerana dia cinta akan tonjolan dan pujian”.
9. Selain itu, alImam Malik bin Dinar رحمة الله عليه telah berkata : “Sekiranya seseorang melaungkan dipintu masjid dengan berkata, ‘Sesiapa yang paling hina dalam kalangan kamu, hendaklah dia keluar !’. Maka demi Allah, tiada sesiapa pun yg dapat mendahuluiku (untuk keluar dari masjid)”.
10. Apabila ucapan alImam Malik bin Dinar رحمة الله عليه tadi disampaikan kepada Imam Abdullah bin Mubarak رحمة الله عليه, maka beliau berkata, “…….kerana perkara inilah menyebabkan Imam Malik bin Dinar رحمة الله عليه telah sampai kepada kedudukan yang begitu tinggi (disisi Allah SWT) dan terkenal. 
11. AlImam Ayyub asSakhtiyani pula sentiasa mengelak daripada melalui jalan yang biasa dilalui oleh orang awam kerana bimbang dikenali dan disapa orang ramai. 
12. Bahkan alImam ibnu Mas’ud pernah menghalau orang-orang yang berjalan mengiringi beliau kerana takutkan fitnah dan ujian kemahsyuran. Begitu juga halnya dengan alImam Sulaiman bin Mihran alA’masy yang benci dikerumuni dan diiringi perjalanannya oleh penuntut ilmu. 
13. AlImam Nawawi رحمة الله عليه pula pernah berkata : “Aku tidak redha orang memanggilku dengan محيى الدين (orang yang menghidupkan agama)”.
———————–
14. Ini sebahagian daripada coretan sirah para salafusoleh dan mutaakhirin yang mengikuti jalan salaf yang hakiki. Bahawa sebahagian mereka sangat benci akan kemasyhuran. Semoga kita dapat mengikuti jejak langkah para salafusoleh dan mengislah diri kita daripada wabak penyakit hati ini.
15. Justeru menjadi kemestian bagi para penuntut ilmu untuk mengikuti jalan para A’immah yang mulia semoga-moga kita juga dimuliakan oleh Allah SWT. Bersabarlah dari mencari kemahsyuran terlalu awal dan ghairah akan pujian penuntut ilmu yang lain. Sungguh mereka yang menuntut ilmu demi sanjungan manusia hanya menempah neraka bagi dirinya.
16. Tulisan ini juga merupakan santapan dan sentapan buat hati sendiri yang selalu terjebak dengan penyakit ini. Seharusnya empunya diri ini menulis dan membaca dengan niat mengislah diri sendiri. Adapun dengan niat menghujum pada orang lain. Sungguh tiadalah manfaat. 
والله تعالى أعلم
العبد الضعيف الفقير والحقير إلى الله اللطيف الخبير فارس ذكوان بن زير الهشام
طويلب وخويدم العلم بأرض الأزهر الشريف

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s