Melayu – Menginsafi Kemerdekaan

MENGINSAFI KEMERDEKAAN
NEGARA kita telah 60 tahun mencapai kemerdekaan daripada penjajah. Dalam tempoh tersebut, kita telah menyaksikan enam orang Perdana Menteri berbangsa Melayu bersilih ganti menduduki tampuk pemerintahan negara.
Sehingga ke hari ini, segala yang melibatkan asas kepada Perlembagaan Negara dan kontrak sosial telah dipertikaikan. Ini termasuklah kedudukan orang Melayu sebagai pribumi, hak-hak keistimewaan orang Melayu, undang-undang syariah, konsep federalisme (Persekutuan), Perjanjian Malaysia 1963 yang melibatkan penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia dan sebagainya.
Sebagai bangsa pribumi yang utama, yang memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah, orang Melayu perlu bertanya, ke mana hala tuju cita-cita kemerdekaan negara kini?
Adakah kemerdekaan yang diperoleh ini memenuhi matlamat yang mereka perjuangkan sewaktu kemerdekaan? Atau mereka sebenarnya sedang menuju keruntuhan sebagai satu bangsa yang berdaulat?
Atau dengan erti kata lain, adakah kedaulatan bangsa, agama dan tanah air sebenarnya sedang menuju kemusnahan?
Seimbas pandang, bangsa Melayu telah banyak berubah. Ramai yang kini mendiami pinggir-pinggir bandar, berpendidikan tinggi, hidup lebih selesa dan memiliki perniagaan. Malahan, ada menjadi tenaga profesional yang berjaya.
Namun, itu mungkin tidak membayangkan kedudukan sebenar pencapaian bangsa Melayu, kerana pada hakikatnya perbandingan angka dan statistik menujukkan bangsa Melayu masih jauh ketinggalan. Ini tanpa menafikan segelintir yang terdiri daripada elit dan anglophile Melayu yang menikmati kekayaan dan kemewahan luar biasa.
Jika kita merujuk kepada rundingan kemerdekaan yang dibuat oleh pimpinan Melayu terdahulu, mereka telah mencagarkan kedaulatan bangsa Melayu dengan menerima syarat penjajah, iaitu membuka kerakyatan kepada kaum pendatang dengan komitmen daripada British supaya bersetuju dengan rancangan-rancangan pembangunan bangsa Melayu seperti RIDA (kini MARA) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Hakikatnya, dengan urusniaga politik tersebut, orang Melayu telah hilang hak kedaulatan ke atas tanah air mereka. Sebaliknya pula, persoalan kita hari ini, sejauh mana rancangan-rancangan untuk pembangunan bangsa Melayu seperti MARA, DEB dan lain-lain telah mampu mengangkat bangsa Melayu, untuk berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain, dan menebus semula kedaulatan bangsa yang telah tercagar?
Kegagalan untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti oleh bangsa Melayu selepas 20 tahun pelaksanaan DEB adalah salah satu bukti nyata perhitungan yang gagal. Jadi, ini bermakna orang Melayu sebenarnya masih rugi dalam urusniaga kemerdekaan mereka.
Persoalan kini, adakah Model Ekonomi Baru (NEM) negara yang telah bermula sejak tahun 2010 telah mengambil kira kegagalan sebelum ini? Adakah NEM ini satu keinsafan baharu yang akan dapat memperbaiki pencapaian orang Melayu? Atau ia tidak lebih sekadar penjenamaan semula idea sama yang telah mengalami kegagalan sebelum ini?
Lebih kritikal lagi, adakah Transformasi Nasional (TN50) yang dicanang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletakkan matlamat mengangkat kedudukan bangsa Melayu untuk mendapatkan semula hak yang telah tercagar? Atau ia sekadar cita-cita kemewahan yang melupakan orang Melayu terhadap perjuangan untuk mengembalikan semula hak-hak mereka yang telah terlepas?
Segala bukti menunjukkan bahawa nasib bangsa Melayu tidak akan berubah. Perancangan-perancangan lalu dan masa kini tidak memperlihatkan kejayaan, di mana orang Melayu tidak dapat mengembalikan semula kedaulatan bangsa dan agama.
Tiada langkah konkrit menuju ke arah itu dan tiada ‘political will’ daripada mana-mana pihak yang sanggup menggalas tanggungjawab perjuangan bangsa yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.
Politik orang Melayu perlu berubah. Mereka perlu keluar daripada pengaruh politik anglophile, berfikir bebas berdasarkan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Anglophile Melayu akan terus dengan cara mereka yang mencari kemajuan dengan mengikut rentak penjajah. Ini adalah kerana golongan anglophile Melayu yang menerajui pemerintahan hari ini, tidak jujur pada perjuangan bangsa. Mereka masih merangka dasar negara mengikut kehendak penjajah.
Orang Melayu harus menghentikan kebergantungan hidup kepada amalan politik korup feudal, yang mengeksploitasi kemiskinan dan keberhajatan mereka, serta berhenti daripada kelakuan menjual undi mereka dengan harga yang murah. Tindakan inilah yang membawa akibat buruk yang memberi kesan sehingga ke hari ini.
Sempena menyambut 60 tahun kemerdekaan ini, orang Melayu pribumi harus memiliki keberanian untuk melakukan satu perubahan yang drastik, menyeluruh, berfikir dengan gaya baharu, melihat masa depan yang baharu, berfikir secara merdeka dan sebagai bangsa berdaulat, serta merangkul semula perjuangan generasi terdahulu.
Ustaz Hj Abdullah Zaik Abd Rahman

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s