Naratif Nusantara Siri 3

*NARATIF NUSANTARA UNTUK KEAMANAN GLOBAL: FORMULA IMAM AL-GHAZZALI DALAM MENGHASILKAN PENGHAYATAN WASATIYYAH UMAT KEPULAUAN MELAYU* 
Siri 3
Dr Amran Muhammad
Sesiapa sahaja yang berbicara mengenai model atau formula ‘wasatiyyah’ di Kepulauan Melayu atau NUSANTARA tanpa merujuk kepada formula Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazzali (1058-1111) atau lebih dikenali di Alam Melayu sebagai Imam Al-Ghazzali bolehlah dianggap buta sejarah dan fakta atau menyembunyikan kebenaran dan prajudis tentang peranan dan pengaruh Imam Al-Ghazzali di dunia sebelah sini.
Memang benar faham ‘wasatiyyah’ itu boleh sahaja dinukil secara langsung dari sumber Al-Qur’an dan Al-Sunnah/Al-Hadith tanpa perlu merujuk kepada mana-mana sarjana atau ulama besar dunia Islam termasuk Imam Al-Ghazzali. Faham ‘wasatiyyah’ literal dari nas juga bebas-konteks aktualisasi sejarah sebegini boleh sahaja diungkapkan dimana-mana wacana ilmiah dan pentas politik sebagai ucapan-ucapan retorik tanpa memerlukan pengesahan kebolehupayaan bagaimana ia telah diterjemahkan dalam masyarakat tertentu di daerah dan wilayah tertentu. Pendekatan retorik ‘wasatiyyah’ tanpa merujuk kepada kontekstualisasinya dalam sejarah umat itu sendiri telah mengakibatkan ‘wasatiyyah’ menjadi tidak lebih dari omong-omong kosong atau angan-angan Mat Jenin. 
Misalnya, lihat sahajalah bagaimana faham dan pendekatan ‘wasatiyyah’ yang sekian lama diwar-warkan di dunia umat Islam di Timur Tengah atau Asia Barat oleh para sarjana dan ulama juga pemimpin Islam di sana dari sudut hasil pencapaiannya sehingga kini. Malah jika pendekatan retorik ‘wasatiyyah’ sebegini ingin dijadikan model untuk diperkenalkan pula di Malaysia, maka amatlah kasihan lagi malang jika umat Kepulauan Melayu ini terikut-ikut dengan retorik ‘wasatiyyah’ yang tidak pernah terbukti aktualisasi atau realisasinya di wilayah Timur Tengah atau Asia Barat dalam tempoh 100-200 tahun kebelakangan ini.
Umat Islam di Alam Melayu wajib memiliki keyakinan diri bahawa formula, model serta visi dan misi keamanan global yang dicari-cari oleh umat manusia di mukabumi ketika ini yang mana kefahaman dan penghayatan ‘wasatiyyah’ merupakan teras penting kepada penjelmaan keamanan yang hakiki bukan sahaja secara global dan nasional malah meliputi juga keamanan akliah, rohaniah, jasmaniah malah tidak ketinggalan keamanan dunyawi dan ukhrawi insaniah telah sedia ada dalam kosmologi dan psikologi umat Melayu sejak ratusan tahun dahulu khususnya melalui formula Imam Al-Ghazzali melalui kitab-kitab ajaran beliau yang tersebar luas di NUSANTARA hasil formulasi para ulama di Kepulauan ini. 
Hakikat bahawa proses penyebaran, kefahaman dan penghayatan Islam di NUSANTARA adalah satu proses pengIslaman yang paling aman damai dalam dunia tentu sekali menandakan ada sesuatu yang khusus dan istimewa tentang kefahaman dan penghayatan Islam di wilayah ini. Melihatkan betapa meluasnya peranan dan pengaruh yang diperolehi dari karya-karya Imam Al-Ghazzali, maka sukar untuk akal yang waras dan ruh yang ikhlas menafikan sumbangan sangat besar Imam Al-Ghazzali dalam memformulasikan kefahaman dan penghayatan Islam yang aman damai dikalangan umat Islam di Alam Melayu. 
Dalam konteks pelbagai pihak sedang mengusahakan pembinaan naratif-naratif keamanan global akibat dari berleluasanya fenomena keganasan ekstremisme ketika ini, tentu sahaja naratif keamanan yang ingin diformulasikan dari rantau, wilayah dan daerah ini tidak mungkin terkeluar atau boleh dikeluarkan dari formula dan kerangka kefahaman dan penghayatan ‘wasatiyyah’ ajaran Imam Al-Ghazzali dengan mengambilkira segala kemungkinan penambahbaikannya sesuai dengan kehendak zaman dan lingkungan semasa.
Para pengkritik *NARATIF NUSANTARA* untuk keamanan global yang berteraskan kepada takrifan, tafsiran dan takwilan atau formula ‘wasatiyyah’ Imam Al-Ghazzali tentu sahaja akan mengatakan mengapa perlu untuk kita merujuk kepada Imam Al-Ghazzali yang telah hampir 1000 tahun meninggalkan kita? Masih relevankah Imam Al-Ghazzali untuk kehidupan moden hari ini? Mengapa tidak kita mencari model keamanan global secara langsung dari Al-Qur’an dan Al-Sunnah/Al-Hadith? 
Para pengkritik ini yang mengatakan Imam Al-Ghazzali telah 1000 tahun mati justeru Imam Al-Ghazzali sidah ketinggalan zaman, lapuk dan ‘irrelevant’ sebenarnya tidak sedar, faham apatah lagi kenal betapa pemikiran Imam Al-Ghazzali terus subur dan segar kepada ratusan juta umat Islam dan bukan Islam sehingga kehari ini meskipun Imam Al-Ghazzali telah lama meninggalkan dunia yang fana ini. Malah pada hakikatnya ramai dikalangan para pengkritik Imam Al-Ghazzali yang  kononnya masih hidup sekarang ini sebenarnya telah mati akal, jiwa dan rohani mereka kerana gagal melihat atau dihijabkan dari melihat kebesaran tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang telah dihasilkan oleh Imam Al-Ghazzali. 
Warisan khazanah keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam hasil buah pemikiran, jihad ilmiyyah-rohaniyyah,  ijtihad dan formulasasi Imam Al-Ghazzali akan terus berperanan dan berpengaruh memberikan kefahaman dan penghayatan Islam yang ‘wasatiyyah’ kepada umat manusia Islam dan bukan Islam meskipun segelintir dikalangan umat Islam tidak berkeupayaan menghargainya apatah lagi memahaminya dek prasangka dan kejahilan mereka terhadap Imam Al-Ghazzali. 
*NARATIF NUSANTARA* untuk keamanan global formula Imam Al-Ghazzali bukanlah semata-mata naratif tempatan orang Melayu memahami Islam secara kampungan yang kolot dan sempit dan tidak berupaya berkembang kepersada global. *NARATIF NUSANTARA* model Imam Al-Ghazzali bukanlah semata-mata naratif tempatan orang Melayu yang tidak diikat kukuh dengan wahyu Al-Qur’aniah dan Sunnah/Hadith Al-Nabawwiyyah justeru boleh dipertikaikan keislamannya. 
Malah *NARATIF NUSANTARA* acuan Imam Al-Ghazzali ini bukan sahaja merupakan naratif Qura’niyyah dan Nabawiyyah tetapi juga memiliki asas dan akar Tradisi ‘Thurathiyyah’ bersambungan langsung dengan warisan khazanah keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang unggul yang tidak difahami oleh penaja-penaja ‘wasatiyyah’ retorik dewasa ini. 
*NARATIF NUSANTARA* ajaran Imam Al-Ghazzali ini merupakan satu formula atau pakej holistik lagi komprehensif kefahaman dan penghayatan keamanan hakiki individu dan kolektif, jasmaniah dan rohaniah juga duniawiyyah dan ukhrawiyyah bergunapakai untuk kehidupan politik, sosial dan ekonomi insan yang tidak tergapai oleh penaja-penaja ‘wasatiyyah’ politik ketika ini.
Dan akhirnya dalam konteks pencarian dan pembinaan naratif-naratif  Anti Keganasan Ekstremisme atau Counter Violent Extremism (CVE) antarabangsa yang masih berlegar-legar pada persoalan sebab musabab politik, sosial, ekonomi dan ideologi, jelas sekali *NARATIF NUSANTARA* boleh menawarkan formulasasi asasiah (foundational/fundamental) sebab-musabab kosmologi dan psikologi yang berupaya menghasilkan keamanan yang hakiki sepertimana yang telah ditakrif, tafsir dan takwilkan oleh Imam Al-Ghazzali dan yang telah sedia dihayati tanpa sedar oleh ratusan juta umat Islam di Kepulauan Melayu ini sejak ratusan tahun yang lalu.
Agak pelik lagi ajaib serta kasihan lagi malang serta menyedihkan jika masih kedapatan umat Islam di Alam Melayu ini yang tersirna dengan formula, model, acuan dan ajaran ‘wasatiyyah’ dari rantau, wilayah dan daerah lain yang terbukti tidak berupaya menyumbangkan secara ‘substantial’ cita-cita, hasrat, visi dan misi keamanan global ini malah sejarah jatuhbangun dan perkembangan lokal dan nasional mereka sendiri pun dipenuhi dengan pertumpahan darah dan keganasan dan kepuakan/tribalism yang tidak kunjung hilang sehingga kesaat ini ingin dijadikan pula formula, model, acuan dan ajaran baru naratif keamanan global semata-mata disebabkan oleh kepentingan agenda dan propaganda tertentu. 

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s