Naratif Nusantara siri 12

*IKTIBAR DARI SEGENERASI ISLAMIS, HARAKIS DAN AKTIVIS YANG HILANG*

 

(NARATIF NUSANTARA SIRI 12)

 

Dr Amran Muhammad

 

Disekitar tahun 1970an, masyarakat Malaysia mula mengalami satu fenomena penting yang mencorakkan suasana keislaman baru yang dinamakan ‘Sahwah’, Nahdah’ atau Kebangkitan Semula Islam juga disebut ‘Islamic Revivalism’. Fenomena baru dakwah yang menarik minat generasi muda berusia dalam lingkungan 20-30an para mahasiswa universiti dalam dan luar negara telah mencetuskan kesedaran, kefahaman dan penghayatan baru Islam dikalangan masyarakat Malaysia khususnya di bandar-bandar. 
Melalui pengaruh dan dampingan kuat tokoh-tokoh dan Gerakan Ikhwan al-Muslimun Mesir khususnya dan Jamaat Islami Pakistan, Generasi muda bersemangat Islami ini mempelopori kemunculan generasi pendakwah muda yang komited kepada agenda Islah (reformasi) dan Tajdid (pembaharuan) melalui penubuhan gerakan-gerakan Islam atau lebih dikenali sebagai Harakah dan Jamaah Islam. Kini Generasi Islamis, Harakis dan Aktivis tersebut berada dalam usia 60-70an.

 

Berbekalkan agenda dan idealism menegakkan Negara dan Daulah Islam, melaksanakan Shariah dan Hukum Hudud, dan mewujudkan sistem-sistem institusi Islam, Generasi ini menjadi kelompok paling vokal dan menonjol sebagai jurubicara umat mengungkapkan agenda dan idealism mereka dalam pelbagai lapisan dan institusi negara. 
Generasi ini dan para pelapis mereka di pusat-pusat pengajian tinggi merupakan golongan terkedepan menjuarai isu-isu mahasiswa dan masyarakat sekaligus meletakkan diri mereka sebagai tokoh-tokoh kepimpinan mahasiswa dan masyarakat. Sudahpasti mereka sering sahaja dicurigai oleh kerajaan yang memerintah dan pentadbir universiti dan agensi-agensi dimana generasi ini beroperasi. Dalam menempuhi pelbagai halangan dan kekangan tersebut Generasi ini berjaya membentuk satu sistem kepimpinan, kaderisasi dan organisasi yang cekap yang tidak dapat ditandingi oleh pihak kerajaan dan universiti khususnya dalam dimensi komitmen dan kecekalan juga kecekapan menyebarluaskan agenda dan idealism mereka.

 

Sumbangan dan jasa utama Generasi Islamis, Harakis dan Aktivis ialah mereka telah berjaya membentuk satu suasana keislaman baru di kalangan masyarakat Islam Malaysia khususnya dalam penampilan amalan-amalan Islam yang asasi seperti solat berjemaah bagi kaum muslimin dan menutup aurat bagi kaum muslimat. Melalui merekalah kegiatan-kegiatan seperti usrah, tamrin, qiamullail dan istilah-istilah seperti tarbiyyah, waqi’, qiyadah mula diperkenalkan kepada masyarakat. 
Sistem dan institusi pendidikan, ekonomi dan sosial masyarakat juga semakin banyak yang cuba menerapkan agenda dan idealism Islam yang dipelopori oleh Generasi ini.  Arena politik merupakan medan penting bagi Generasi ini menjayakan agenda dan idealism mereka. Justeru hampir keseluruhan potensi kepimpinan dan kaderisasi Generasi Islamis, Harakis dan Aktivis ditumpukan kepada arena politik atau siasah sehingga mengabaikan dimensi-dimensi penting Islam yang lain terutamanya dimensi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan.

 

Kini memasuki Abad ke 21, dinamika, visi dan misi Generasi kelihatan berada dipersimpangan dan dilema. Gerakan, Harakah dan Jamaah yang 30-40 tahun lalu melambangkan potensi umat ke arah kebangkitan semula Islam, tenaga yang berupaya menyatupadukan umat atas bendera perpaduan Islam, gerakan yang bakal melaksanakan shariah dan hudud dalam sebuah Negara Islam yang berperlembagaan Al-Qur’an dan Al-Sunnah kelihatan tidak menjadi kenyataan dan tidak juga sekurang-kurangnya dapat menjayakan sebahagian dari agenda dan idealism tersebut. 
Malah Gerakan, Harakah dan Jamaah para Islamis, Harakis dan Aktivis kini berada dalam keadaan self-denial atau menafikan kegagalan mereka, timbul perpecahan dan persengketaan yang tidak terjangka sesama mereka juga hilangnya dinamika, kreativiti dan solusi baru yang mereka boleh tawarkan kepada umat dalam kemelut kehidupan semasa.

 

Meskipun kita wajib menyanjungi dan mengenang-jasa Generasi Unik Umat Melayu Islam ini dalam memberikan saham dan pergorbanan Islam mereka, kita juga khususnya bagi Generasi Baru Abad ke 21 perlu bermuhasabah, menilai secara kritikal melihat punca-punca kegagalan dan kelemahan Generasi Islamis, Harakis dan Aktivis ini dan tidak mengulangnya untuk kedua kalinya dalam menjayakan agenda baru Islam Abad ke 21. 
Terdapat beberapa faktor asasi yang menyebabkan Generasi didikan Gerakan, Harakah dan Jamaah Dakwah dan Islam ini berada ditahap kelesuan dan ketepuan paradigma mereka hari ini yang perlu diberi perhatian khusus oleh Generasi Baru Islam. Kegagalan dan kelemahan ini bukanlah perkara baru malah telah sejak dahulu diperkatakan oleh para ilmuan Islam dan pengkaji Dakwah dan Gerakan Islam cumanya oleh kerana Generasi dan Gerakan ini cenderung dengan sikap ‘Holier than Thou’ dan ‘We Know All” maka mereka mengabaikan pesanan dan saranan ini mengakibatkan mereka mengalami “kehilangan” dimata umat ketika ini.

 

Kegagalan utama Generasi dan Gerakan ini ialah ketidakupayaan mereka menggarap Islam sebagai sebuah agama unggul yang memiliki lebih 1000 tahun tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan. Atas pengaruh modenis dan anti-tradisi yang kuat dari sejak awal kemunculan mereka, Generasi dan Gerakan ini sepanjang sejarah perkembangan dan pergerakan mereka tidak mengambil berat langsung terhadap usaha-usaha meraikan, menghargai apatah lagi menggali atau mengembalikan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam. 
Justeru mereka mengalami kebangkrapan intelektual dan ilmiah pada tahap tinggi untuk mengolah agenda dan idealism perjuangan mereka sesuai dengan kekayaan khazanah dan warisan tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam sebagai nara-sumber agenda dan idealism. Tanpa bekalan ilmiah, rohaniah dan hadharah yang cukup dan kaya, maka pengungkapan dan formulasi Islam Generasi dan Gerakan menjadi simplistik dan retorikal hampa isi dan ruh.
Generasi dan Gerakan ini bukan sahaja kehilangan peluang untuk mendapat faedah dari tradisi pemikiran Falsafah, Kalam, Tasawuf dan Usul-Fiqh Islam yang kaya-raya tetapi juga mengalami kehampaan rohaniah yang teruk akibat kegagalan memperolehi hikmah dari tradisi kerohanian Islam termasuklah tradisi-tradisi tarikat dan amalan yang berkaitan dengannya. Akibat dari sikap prajudis dan penolakan terhadap tradisi kerohanian Islam, maka Generasi dan Gerakan ini tidak dapat menawarkan satu sistem atau tata-cara kerohanian yang bersepadu yang juga merupakan punca-punca perpecahan sesama mereka ketika ini. 
Kegagalan untuk memanfaatkan tradisi kerohanian ini juga bukan sahaja merugikan diri Generasi dan Gerakan semata-mata tetapi juga menafikan kepada masyarakat Islam dan umat manusia dari mendapat faedah dan hikmah dari ajaran-ajaran kerohanian oleh Imam Al-Ghazzali, Al-Rumi, Ibn Arabi, Imam Rabbani dan seumpamanya. Begitu juga mutiara-mutiara agama yang dipersembahkan oleh Shaykh Abdul Qadir al-Jilani, Imam Syazili, Abu Madyan, Ibn Ata’illah dan ramai lagi.

 

Tumpuan yang berlebihan terhadap Siasah dan Syariah atau Politik dan Perundangan secara naif dan terikut-ikut dengan cara-gaya konsep Negara-Bangsa Barat telah mewujudkan pertentangan dan pergolakan yang tidak perlu dalam dunia umat Islam. Hari ini boleh dikatakan keseluruhan Generasi dan Gerakan ini diseluruh dunia sedang merudum malah ada yang telah benar-benar hilang kerelevanan mereka dalam kehidupan umat. 
Generasi dan Gerakan ini yang tidak mengenali apatah lagi dapat menghayati pemikiran psikologi Ibn Sina, pemikiran politik Madinah al-Fadhilah Al-Farabi atau Nasihat al-Mulk Al-Ghazzali, penjelasan Kalam tradisi besar dan panjang Imam-Imam Al-Ash’ari, Al-Maturidi, Al-Sanusi, dan Al-Ghazzali sendiri, faham politik dan kenegaraan dan masyarakat Ibn Khaldun, faham agama lain Al-Biruni, ajaran-ajaran kerohanian Imam Al-Ghazzali, Ibn Arabid an Al-Rumi juga tradisi Usul Fiqh 4 Mazhab besar tentu sahaja tidak boleh menawarkan apa-apa yang substantive dan sustainable untuk umat seperti yang kita saksikan pada hari ini.

 

Sangkaan dan andaian bahawa Islam boleh sahaja difahami dan dihayati dengan merujuk terus kepada Zaman Rasulullah SAW atau Generasi Salaf atau cukup dengan Kembali kepada Al-Qur’an dan Al-Sunnah/Al-Hadith adalah kesilapan paling fatal dalam pendekatan epistemologi atau manhaj ilmu Generasi dan Gerakan ini. Tragedi Epistemological Jump atau Lompatan Epistemologi ini tanpa keinginan atau keperluan merujuk kepada Turath atau Tradisi Keilmuan, Kerohanian dan Ketamadunan inilah yang menjadikan Islam hari ini agama yang keras, kasar dan kering-kontang. Generasi dan Gerakan Islamis, Harakis dan Aktivis tanpa disedari dan mungkin bukan menjadi niat mereka telah bertanggungjawab mengartikulasi dan memformulasikan Islam dari sebuah agama yang gemilang dan sarat ilmu, roh dan tamadun menjadi sekadar agama yang miskin dan cetek ilmu, roh dan tamadun. Semoga Generasi Baru Gerakan Islam Abad ke 21 tidak mengulangi perkara yang sama dari Generasi Yang Hilang ini.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s