Naratif Nusantara siri 11

*BILA AGAMA MATI UMAT MENJADI ZOMBI*

 

(NARATIF NUSANTARA SIRI 11)

 

Dr Amran Muhammad

 

Fenomena kehidupan beragama yang menjadi manifestasi lahiriyyah dan zahiriyyah semata-mata sepatutnya menjadi kebimbangan kita pada hari ini kerana ia menandakan sesuatu yang tidak kena dalam kefahaman dan penghayatan Islam yang kita anuti.  
Misalnya ketika masjid dimerata tempat dibina dan dibesarkan tersergam indah dengan segala kelengkapan canggih, kita menyaksikan gejala rasuah bermaharajalela disegenap lapisan masyarakat. Ketika pusat-pusat tahfiz bersemarak merata-rata umpama cendawan tumbuh selepas hujan, kita menyaksikan fenomena pemilikan yang sebenarnya perompakan harta awam dibuat secara terbuka dan terang-terangan. Ketika umat Islam berbondong-bondong menunaikan ibadah umrah dan haji, kita menyaksikan penyalahgunaan kuasa dan ketidakcekapan penyampaian perkhidmatan awam menyusahkan kehidupan rakyat.

 

Masjid-masjid besar yang tersergam indah diiringi dengan kewujudan masyarakat yang tamak-haloba menandakan penampilan dan kemegahan fizikal Islam tidak mencukupi untuk menghayati kehidupan beragama yang sebenar. Diperlukan sifat-sifat dalaman seperti syukur dalam menjalani kehidupan. Madrasah-madrasah tahfiz seperti cendawan tumbuh disertai dengan kemunculan masyarakat yang tidak amanah lagi khianat menandakan kehadiran pusat-pusat tahfiz dan madrasah-madrasah tidak memadai untuk melaksanakan tuntutan agama. Diperlukan pra-syarat keilmuan tentang tujuan dan hakikat Al-Qur’an itu sendiri bukan sekadar hafazan semata-mata untuk diterapkan kepada masyarakat. Berbondong-bondong umat menunaikan umrah dan haji dituruti dengan hadirnya kelompok pengurus dan pentadbir masyarakat yang curang dan culas menandakan perlaksanaan umrah dan haji tidak lebih dari majlis pertunjukan kelas-kelas kemampuan umat untuk membeli pakej-pakej perlancongan ke Mekah dan Madinah.

 

Antara tujuan utama dan kebimbangan paling besar Imam Al-Ghazzali ketika menghasilkan karya agung beliau Ihya Ulumuddin atau “Menghidupkan  Ilmu-Ilmu Agama” ialah fenomena amalan-amalan agama sama ada ibadah mahu pun muamalah menjadi amalan zahiriyyah dan lahiriyyah semata-mata. Bilamana amalan-amalan agama ini menjadi perbuatan-perbuatan fizikal, ritual dan mekanikal semata-mata tanpa disertai dengan kefahaman dan penghayatan tentang adab, makna, hikmah dan hakikat ibadah dan muamalah maka amalan-amalan agama tersebut menjadi tidak lain sebagai pertunjukan dan perhiasan semata-mata. 
Inilah tanda-tanda penting bagaimana Ilmu-Ilmu agama, kefahaman dan penghayatan Agama akhirnya menjadi lesu, kosong, hampa dan mati. Agenda Islah dan Tajdid Imam Al-Ghazzali ialah mengembalikan ruh dan jiwa kehidupan beragama melalui ilmu, kefahaman dan penghayatan yang meliputi kedua-dua dimensi zahir dan batin. Inilah inti-pati Ihya Ulumuddin, menyelamatkan kehidupan beragama dari menemui kehancuran dan kematian.

 

Imam Al-Ghazzali dalam Agenda Islah dan Tajdid atau Ihya Ulumuddin “Menghidupkan” ruh dan jiwa beragama ingin menyelamatkan umat Islam dari menjadi Zombi yang tubuh-badan kelihatan seperti masih hidup tetapi ruh dan jiwanya kosong umpama mayat yang berjalan. Lihatlah betapa hari ini dengan begitu banyak program-program keagamaan di media elektronik, radio dan tv, internet, media sosial, seminar, dan seribu satu macam lagi program secara interaktif, on-line, face-to-face dan seumpamanya masih tidak berupaya membentuk para pembina Masjid tersergam yang juga melahirkan para makmum yang khusu’ dalam solat dan beramanah dalam memikul tanggungjawab awam, para pembaca Al-Qur’an yang Al-Qur’an sekadar dihalkum mereka tanpa penganalisaan dan penghayatan sebenar Al-Qur’an dalam kehidupan politik, ekonomi dan sosial mereka, para pelaksana Umrah dan Haji yang berupaya menentukan keutamaan ibadah umrah dan haji berbanding dengan keutamaan umat yang lebih mendesak dalam suasana kemunduran ilmu dan kemiskinan kehidupan.

 

Bila agama mati maka umat menjadi zombi bukanlah khayalan dan kenyataan kosong semata-mata. Itulah realiti yang sedang dialami oleh umat Islam ketika ini seperti yang pernah juga terjadi di zaman Imam Al-Ghazzali yang memaksa beliau menghasilkan Projek Ihya Ulumuddin “Menghidupkan Kembali Ruh dan Jiwa Beragama”. Bagaimana Imam Al-Ghazzali menjelaskan bahaya penekanan kepada aspek-aspek fekah semata dalam ibadah dan muamalah, bahaya perdebatan dan perbahasan yang tidak berkesudahan dalam hal-hal ranting (furuk), juga bahaya kefahaman dan penghayatan agama tanpa pemantapan akidah dan pembaikan akhlak, kesemuanya ini boleh membawa kepada kebinasaan dan kematian agama serta melahirkan zombi-zombi yang kelihatan seperti melaksanakan amalan-amalan agama tetapi ruh dan jiwa mereka kosong dan hampa dari adab, makna, hikmah dan hakikat sebenar beragama.

 

Persoalannya apakah agama telah mati dalam kehidupan umat ketika ini dan yang sedang kita saksikan adalah sekadar umat yang telah menjadi zombi-zombi agama. Dan zombi-zombi seperti mana yang sesiapa pernah tonton dalam filem “Zombi Kampung Pisang” akan mencari mangsa-mangsa baru dikalangan orang-orang yang masih hidup untuk menambah populasi kaum zombi seperti mereka. Dan apakah kita akan menjadi mangsa terbaru zombi-zombi agama tersebut? Itu pun jika kita benar-benar yakin bahawa ketika kini kita belum lagi termasuk dalam kelompok zombi agama.

 

(Seperkara yang menarik untuk kita renungi dalam konteks Islam di Nusantara ialah bukan menjadi kelaziman mereka sejak dahulu-kala membina masjid yang besar-besar seperti sekarang ini, atau menubuhkan madrasah tahfiz seperti yang banyak kita lihat hari ini, dan juga budaya berbondong-bondong menunaikan umrah dan haji. Dengan masjid dan surau seadanya, pondok-pondok ilmu serba kedaifan dan ibadah umrah dan haji sekali dalam seumur hidup mereka, orang Melayu Nusantara benar-benar menghidupkan agama Islam dalam kehidupan mereka berbekalkan Tauhid dari akidah Asha’irah yang sahih, Fekah yang bertertib dari Mazhab Syafi’e dan Akhlak dan Ihsan dari Tasawuf Imam Al-Ghazzali.)

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s