Naratif Nusantara siri 10

*PERINGATAN TENTANG ULAMA SUK (OPORTUNIS) DAN ULAMA SOUQ (KOMERSIL)*

 

(NARATIF NUSANTARA SIRI 10)

 

Dr Amran Muhammad

 

Zaman dahulu kala di Yunani, ada sekelompok penceramah yang dinamakan sebagai sophists atau dalam istilah Islam sufastaiyyun. Pendekatan ceramah mereka juga dikategorikan sebagai safsatah yang tidak jauh berbeza dangan khitabah atau retorik. Mereka memainkan emosi para pendengar dengan mencampur-adukkan fakta dan kepalsuan secara bersahaja dan memanipulasikan kejahilan pendengar untuk mempengaruhi mereka. 
Mereka tidak menggalakkan para pendengar mereka bersifat kritikal serta apatah lagi mempersoalkan hujah-hujah ceramah yang diberikan. Pendekatan ceramah mereka ialah ‘one-way street’ soalan-soalan hanya diminit-minit akhir manakala hampir keseluruhan ceramah bersifat ‘monologue’- seorang bercakap yang lain sekadar mendengar dan mengiyakan.

 

Tujuan utama kegiatan sophist ialah untuk mendapatkan bayaran dari ceramah mereka justeru mereka mempelbagaikan pendekatan ceramah mereka selain dari menggunakan retorik untuk menaikan emosi pendengar, mereka juga menggunakan strategi lawak-jenaka dan gelak-ketawa seperti penglipur lara untuk memastikan pendengar terus setia dan bayaran sentiasa diperolehi. 
Pendekatan safsatah atau sophistry atau khitabah atau retorik ini dalam tradisi Yunani tidak membina keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Yunani seperti pendekatan Socrates, Aristotle dan Plato yang kemudiannya kelak mempengaruhi pembentukan Ketamadunan Barat hari ini. Begitu juga tradisi safsatah atau sophistry atau khitabah atau retorik ditolak oleh para ulama dan sarjana Islam tetapi mereka memanfaatkan tradisi Socrates, Aristotle dan Plato.

 

Imam Al-Ghazzali juga berbicara panjang mengenai Ulama Suk atau ulama jahat yang menurut beliau merosakkan agama Islam secara zahir dan batin. Ulama Suk ini bersifat oportunis untuk kepentingan diri sendiri sama ada menutup kebenaran dari pengetahuan umum atau menutup kelemahan sendiri dengan mengalih keutamaan umat kepada perkara yang mereka tahu semata-mata. 
Juga kita boleh menambah penjelasan Ulama Suk Imam Al-Ghazzali kepada Ulama Souq yang bukan sahaja memperdagangkan agama malah menjadikan kegiatan agama sebagai satu industri untuk mengaut keuntungan dengan memperdayakan umat atas nama Islam. Dalam banyak hal Ulama Suk (oportunis) dan Ulama Souq (Komersial) hari ini tidak jauh berbeza dengan kelompok sophist Yunani yang mengambil pendekatan safsatah dan retorik demi menjaga kepentingan atau mengaut keuntungan masing-masing atas nama Islam.
Islam adalah sebuah agama unggul yang memiliki lebih 1000 tahun sejarah dan perkembangan keilmuan, kerohanian dan ketamadunannya meliputi segenap pelusuk alam. Justeru pengungkapan/artikulasi atau pembentangan/formulasasi ajaran-ajaran Islam tidak wajar bersifat safsatah dan khitabah lebih-lebih lagi melihat kepada kelemahan dan kemunduran keilmuan, kerohanian dan ketamadunan yang sedang dialami oleh umat Islam ketika ini. 
Sekiranya para ulama benar-benar ingin menghayati maksud “Ulama sebagai Pewaris Nabi”, mereka mestilah berupaya mengangkat kefahaman dan penghayatan Islam dikalangan umat kearah peningkatan keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang tinggi bukan terus-menerus membuai serta melemahkan daya-fikir dan kreativiti umat dalam menanggapi cabaran kehidupan sebagai khalifah pengurus dan pentadbir hal-ehwal mukabumi.

 

Para ulama  yang sedar dan insaf mestilah membawa umat Islam kepada tahap kefahaman dan penghayatan Islam secara “burhani-pembuktian” dan “tahqiqi-pengesahan” bukan pada tahap safsatah, khitabah dan retorik walaupun sekecil manapun tahap burhani dan tahqiqi tersebut. Untuk itu mereka sendiri mestilah mengeluarkan jiwa-nurani dan akal-budi  mereka dari pendekatan safsatah, khitabah dan retorik ini kepada pendekatan burhani dan tahqiqi terlebih dahulu. 
Umat Islam mestilah dibangkitkan jiwa-nurani dan akal-budi mereka untuk menghadapi realiti sebenar cabaran kehidupan mereka dan generasi anak-cucu mereka. Kita tidak boleh lagi hanya disibukkan dengan persoalan fatwa dan fekah seperti hukum qunut, tahlil, yasin dan talqin, persoalan hadis sohih dan daif juga persoalan hafazan dan taranum yang menjadi pengkhususan ramai dikalangan ulama hari ini. Umat Islam mesti difahamkan kesinambungan dari khazanah dan tradisi Islam ialah tentang keilmuannya, kerohaniannya dan ketamadunannya yang lebih unggul dan telah dan berupaya mencabar peradaban kemanusiaan Timur dan Barat dahulu dan juga sekarang.

 

Dipacu dan diolah oleh kepentingan media pemasaran dan industri pengiklanan, Ulama Suk dan Ulama Souq mesti memahami amanah dan kewajipan mereka untuk menjelaskan kepada umat bahawa tidak boleh diangkat dan dianggap status ilmu dan kedudukan Pencetus Ummah dan Imam Muda sama dengan Profesor Pengajian Islam dan Tuan Guru Pondok. Umat Islam hari ini kebanyakannya tidak boleh membezakan antara keilmuan yang hakiki dengan penggayaan komersil pseudo-ilmu atau keilmuan cetek malah palsu. 
Sifat dan tabi’at keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam yang tinggi memerlukan jangkamasa dan latihan serta pendedahan tertentu lagi khusus untuk diungkapkan/diartikulasi dan diformulasasikan kepada orang awam. Pendekatan instant dan separuh masak berdasarkan undian sms dalam persoalan keagamaan bukan hanya melanggar adab dan tertib agama malah akan merosakkan nilai, makna, hikmah  dan hakikat sebenar  tujuan beragama. Para Ulama Suk dan Souq berkewajipan mengelakkan umat Islam dari terus menerus terjebak dalam kekeliruan dan kesilapan keilmuan, kerohanian dan ketamadunan ini.

 

*NARATIF NUSANTARA ialah sebahagian dari PROGRAM KALAM STRATEGIK ISSI bertujuan membina masyarakat dunia yang menikmati keamanan, rahmah dan barakah melalui tradisi keilmuan, kerohanian dan ketamadunan Islam*

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s