Menjawab Isu Saman SR

SAMAN SARAWAK REPORT: ZAID IBRAHIM MALUKAN INSTITUSI GUAMAN
3 Januari 2017
Semenjak musuh PAS beroleh peluru baru iaitu kunjungan TGHH ke Tehran, nampaknya isu saman Sarawak Report (SR) tidak lagi riuh seperti dahulu. Digunakan cukup-cukup isu tersebut untuk mengaitkan PAS dengan syiah.
Namun begitu, masih ada berbunyi isu SR tetapi kini dengan naratif yang berbeza. Jika dahulu mereka cabar untuk saman, kini mereka mempertikaikan pula tindakan PAS itu kononnya tidak relevan. Seolah mengharap PAS berundur dari keputusan menyaman SR.
Untuk pengetahuan kita, melalui kenyataan YB Dato Takiyudin, peguam yang mewakili PAS di UK sudah menghantar notis tuntutan kepada editor SR, Clare Rewcastle Brown. Notis tuntutan “Letter of Claim Pursuant to the Pre-Action Protocol for Defamation” itu berkuatkuasa selama tujuh hari bermula dari tarikh surat pada 13 Disember 2016.
Tuntutan tersebut adalah meminta Sarawak Report membuang artikel itu daripada laman wenya, siarkan satu permohonan maaf (apology) atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui oleh PAS dan menuntut Sarawak Report memberi akujanji (undertaking) tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang. Namun, Clare mendakwa dia tidak menerima apa-apa dokumen sehinggalah berakhir tempoh tuntutan iaitu pada 20 Disember yang lepas.
Ada yang mengkritik PAS tidak bertindak apa-apa selepas surat tuntutan tersebut tidak ditunaikan SR. Untuk pengetahuan kita juga, pada akhir Disember sehingga awal Januari setiap tahun kebanyakan agensi dan perkhidmatan di barat terutama UK menghentikan operasi mereka buat sementara waktu bagi menyambut perayaan Krismas dan tahun baru. Perkara ini sudah tentu membantutkan usaha PAS dalam berurusan dengan pihak mahkamah untuk tindakan lanjut.
Saya sebenarnya tertarik untuk menjawab artikel Zaid Ibrahim berkenaan isu ini. Beliau menyatakan dalam blognya bahawa tindakan PAS menyaman SR hanya gimik politik semata-mata. Nada tulisan yang sangat hebat bermain persepsi ‘su` zhon’ bagi menimbulkan keraguan di kalangan pemerhati politik negara ini. Dikaitkan isu ini dengan berbagai perkara yang tidak munasabah tetapi cuba bermain psikologi. Bagi yang lemah capaian mindanya sudah tentu mudah diulik lenggok bahasa beliau.
Antaranya beliau menimbulkan isu kos guaman yang sangat tinggi. Tidak berbaloi bagi PAS mengeluarkan sehingga 1.5 juta untuk menyelesaikan isu ini. Perkara ini telah dijawab oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato Dr Mahfodz Mohamad bahawa saman ini adalah demi maruah PAS. Tindakan ini boleh memberikan pengajaran kepada pihak lain supaya tidak cuba bermain api dengan PAS. Fitnah bukan budaya sihat dalam politik. Oleh itu ia tidak boleh dibiarkan.
Lagipun, segala kos guaman akan ditanggung oleh SR setelah terbukti kenyataan mereka sebelum ini adalah salah dan berniat jahat terhadap PAS. Zaid sengaja buat-buat tidak mengenai prosiding ini walaupun beliau sendiri seorang peguam.
Zaid turut mengaitkan tindakan PAS in bakal menjejaskan hubungan dengan Umno. Zaid seolah mahu menanam persepsi dalam minda ahli PAS bahawa benar PAS sudah tidak lagi berseteru dengan Umno. Perkara ini amat jauh dari realiti. Sebetulnya PAS kini memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS),  dimana prinsipnya PAS tidak lagi menjadi pembangkang yang membangkang apa sahaja usaha kerajaan. Sebaliknya bersifat matang dalam setiap isu demi kemaslahatan rakyat. Sekiranya usaha kerajaan itu baik bagi negara, PAS menyokong dan sedia membantu. Tetapi sekiranya tidak, PAS akan tetap membangkang tetapi bukan sekadar mencari kesalahan, bahkan turut mengemukakan solusi lain.
Dalam isu RUU355, benar PAS cuba mendekati pihak kerajaan kerana usaha ini secara undang-undangnya tidak akan berjaya tanpa political will dari mereka. Setelah lama berusaha, hasilnya berlaku desakan menuntut pindaan akta ini dilakukan dari dalam kerajaan sendiri serta parti Umno sendiri. Paling mengujakan, kerajaan sendiri akan membawa RUU355 untuk dibahaskan dalam parlimen nanti!
Bukankah ini pertolongan Maha Esa yang sangat tidak disangka-sangka? Kalau tunggu
 kita menang dahulu baru segalanya mahu dimulakan, apa nasib mereka yang tertindas dengan kelemahan undang-undang negara selama ini dan tidak sempat menanti kemenangan PAS? Nasib mereka tidak wajar dipolitikkan.
Berbeza dalam isu GST. PAS konsisten membangkang percukaian yang bertentangan dengan konsep Islam ini. Kerjasama PAS dalam perkara RUU355 tidak menghalang PAS dari terus berperanan sebagai pembangkang. Tuan Guru Ayah Chik terus menegur tentang ini dalam ucapannya semasa sesi perbahasan Bajet 2017 bermula Oktober lepas. Beberapa minggu lalu dalam kuliah mingguannya di Rusila, sekali lagi beliau mengkritik cukai jahiliah ini kerana ia dikenakan kepada semua rakyat tidak kira kaya atau miskin.
Sebagai solusi, PAS sudah mengeluarkan dokumen hijau yang antara lain mencadangkan sistem pengurusan kewangan yang lebih Islamik dan adil bagi menggantikan perolehan GST. Inilah konsep sebenar BPMS yang wajib difahami dan diamalkan. Barulah negara ini makmur tanpa sikap prejudis dan selektif atas dasar kepartian.
Walaubagaimanapun ia dipandang sepi oleh politikus dan media mainstream, kerana hakikatnya focus mereka bukan untuk mencari solusi untuk maslahah rakat sebaliknya cuma mahu merebut kuasa dan kerajaan demi maslahah tersendiri.
Paling kelakar, Zaid mendakwa belum pernah melihat ada parti politik berjaya dalam kes saman di England. Sebenarnya persoalan itu sudah menjawab persoalan terdahulu yang beliau sendiri timbulkan berkenaan keputusan PAS menamakan Presidennya sebagai plaintif. Sekiranya beliau bermaksud belum ada mana-mana pihak luar yang menang dalam kes saman di UK melibatkan isu politik, bermakna beliau telah memalukan diri sendiri dan para pengamal guaman di Malaysia. Tercatat dalam lipatan sejarah, sudah banyak kes-kes seumpama ini berlaku di negara bekas penjajah Malaysia itu dan ia memihak kepada pihak luar yang memfailkan saman tersebut agensi dalam negara terbabit.
Bukti paling dekat adalah pada tahun 2007 di mana Tuan Guru Ayah Chik sendiri pernah menyaman akhbar Daily Mirror yang juga beroperasi di UK kerana menyenaraikan beliau sebagai salah seorang pemimpin tinggi Al-Qaeda yang menyebarkan ideologi terrorisme. Ayah Chik menang kes ini dan Daily Mirror telah mengeluarkan kenyataan maaf serta membayar pampasan dan kos guaman beliau.
Selain beliau, pada tahun 2014 Rashid Ghanouchi juga pernah menang dalam kes samannya terhadap agensi penerbitan Michel Lafon. Ghanouchi yang merupakan pemimpin parti Ennahda, parti terbesar Tunisia telah didakwa menerima dana daripada kerajaan Qatar bagi menghadapi pilihanraya Tunisia 2011.
Presiden Turki kini, Recep Tayip Erdogan juga pernah menang samannya terhadap akhbar British Daily Telegraph yang mendakwa AK Parti menerima dana USD 25 juta daripada Iran. Akhbar yang sama juga telah disaman oleh isteri Emir Qatar, Sheikha Mouza atas dakwaan fitnahnya.
Selain kes-kes di atas, banyak lagi kes seumpama yang tidak sempat saya di sini. Saya cadangkan Zaid membuka arkib firma guaman Carter-Ruck yang mengendalikan kes Ayah Chik terhadap Daily Mirror dahulu dan juga kes-kes tokoh lain. Sikap lancang menulis tanpa mendahulukan kajian dan fakta hanya akan menjatuhkan airmuka sendiri dan seluruh pengikut di belakang.
Kesimpulannya, tulisan Zaid hanyalah kerana bimbang PAS meneruskan kes ini dan menang sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini. Sudah tentu nama PAS melonjak naik hingga ke mata dunia dan menenggelamkan segala parti-parti picisan yang cuba berpaut pada pengaruh PAS. PAS tidak sepatutnya melayan segala keraguan yang ditimbulkan musuh politiknya, bahkan melayarkan bahtera ini menuju matlamat yang kian dekat dan jelas.
(Alang Ibn Shukrimun)
Telegram:

http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun

Facebook:

https://m.facebook.com/alangshukrimun/

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s