Kekal Bantah RUU164

Catatan Parlimen: Mengapa PAS Tetap Kekal Membantah RUU 164.? 
1. Pada lewat malam tadi, RUU Pindaan Akta 164 diluluskan setelah melalui proses perbahasan yang hangat daripada kedua belah pihak. 

Agak luar biasa kerana pada akhirnya hanya PAS sahaja yang kekal membantah manakala BN dan PH bersetuju dengan RUU ini.
Sewaktu pengundian, hanya sekalian Ahli Parlimen PAS sahaja yang bangun berdiri menuntut undi secara belah-bahagian.

Namun, undi belah-bahagian ia tidak dapat dilaksanakan kerana tidak cukup syarat minima 15 orang Ahli Parlimen yang bangun.

Maka, kekallah dalam rekod sejarah bahawa hanya Ahli Parlimen PAS sahaja yang menentang RUU Pindaan Akta 164 ini.
2. Mengapa PAS masih kekal membantah RUU 164 ini dalam keadaan Fasal 88A yang kontroversi itu sudah ditarik balik dalam versi baru RUU ini.? 
Ketua Whip PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan menyatakan PAS mendesak RUU 164 ini ditarik balik kerana sekiranya diluluskan pun, ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah sebenar bahkan banyak percanggahan pula yang akan timbul selepas ini.
Antara percanggahan RUU ini ialah Seksyen 51 yang baru dipinda akan membenarkan Muallaf membubarkan perkahwinan di Mahkamah Sivil tetapi pada masa sama wujudnya Akta 303 Undang Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 2003 dan Enakmen di peringkat negeri-negeri yang mengikat muallaf tersebut.

Dalam Seksyen 46 (2) Akta 303 yang diluluskan di Parlimen sendiri menyebut;
“(2) Jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh Mahkamah.”
Pada masa sama dalam Item 1 Jadual ke-9 Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan menyebut “penentuan perkara hukum, doktrin, syarak dan adat Melayu” merupakan bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Muallaf walaupun baru sahaja memeluk Islam tetapi dia berhak untuk menggunapakai undang-undang Syariah yang sememangnya diperuntukkan sebagai personal law untuk Muslim. 
Dalam Perkara 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan ada menyebut “(1a) Mahkamah yang disebut dalam Fasal (1) tidaklah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah.”
3. YB Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan dalam ucapan perbahasan RUU ini mengimbau kembali sejarah Akta 164 1976 ini yang digubal hasil daripada Laporan Royal Commission on Non-Muslim Marriage and Divorce Laws yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Ong Hock Thye pada 1970. 
PAS mahu RUU 164 ini diteliti semula dan diperbaiki melalui penubuhan Jawatankuasa  Khas yang dianggotai oleh pelbagai pihak berkepentingan melibatkan kerajaan, parti politik, NGO, agensi agama dan sebagainya bagi membincang secara halus dan terperinci pindaan Akta 164 ini.
4. PAS bersetuju dalam hal pengguguran Fasal 88 A dalam RUU 164 yang baru kerana sememangnya ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Mahkamah Persekutuan telah pun membuat beberapa keputusan dalam menafsir Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan,

(4) Bagi maksud Fasal (3) agama seseorang yang di bawah

umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya. 

Perkataan ‘parent’ itu bermaksud salah seorang samada ibu atau bapa berhak menentukan agama anaknya.
5. PAS teguh dalam mempertahankan pendirian dan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-87 pada 23- 25 Jun 2009:
“Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa di dalam Islam, Jumhur Ulama telah bersepakat bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.
Oleh yang demikian, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa)

memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan tersebut adalah secara langsung beragama Islam.
Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa atau penjaganya tidak perlu dipinda.”
6. Cuma, amat aneh sekali apabila Ahli Parlimen PAN, YB Parit Buntar yang berbahas  begitu senada dengan pendirian DAP dalam hal unilateral conversion ini. 

Demi menjaja idea Islam ramah tamah versi progresifnya, YB tersebut turut mempertikaikan mengapa Kerajaan perlu tunduk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang dikatakan tidak punyai kuasa undang-undang.?
Maka, dipetiklah pandangan Imam As Tsauri yang didakwa lebih progresif sehingga ditegur oleh YB PAS Kuala Nerus kerana YB PAN Parit Buntar ini membawa pandangan yang mengelirukan dan bertentangan dengan Ijmak yang sudah sepakat bahawa agama anak mengikut nasab ayahnya. 
7. PAS juga membantah RUU 164 ini kerana wujudnya kaedah retrospektif dalam Fasal 8 yang menyebut;

“Apa-apa tindakan atau prosiding yang bermula atau belum selesai sebaik sebelum tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini hendaklah, selepas tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini, diteruskan di bawah peruntukan Akta ibu sebagaimana yang dipinda oleh Akta ini.”
Amat pelik kerana jarang kaedah retrospektif yang bersifat ke belakang ini digunapakai dalam penggubalan undang-undang. Ia bermakna pindaan yang dicadangkan ini memberi kesan kepada kes-kes yang masih belum diputuskan.

Kenapakah pendekatan ini diambil? 

Terdapat pelbagai kes yang telah diputuskan mahkamah dan kesan pindaan ini hanya akan memperlekehkan keputusan telah dibuat dan akan menjadikan sesuatu perkara yang sah menjadi tidak sah. 
8. Seiring dengan BPMS yang diamalkan, PAS mencadangkan solusi kepada permasalahan ini ialah mewujudkan suatu Tribunal Khusus yang berprinsipkan Mediasi bagi mengharmonikan penyelesaian antara pihak yang berpolemik sebelum sebarang permasalahan terus dibicarakan di Mahkamah. Tribunal Mediasi ini diperlu diaktakan supaya ia menjadi satu sistem penyelesaian, mengelak konflik agama, keluarga dan kaum.
9. PAS berjuang sehingga ke akhirnya walaupun bersendirian berhadapan dengan BN dan PH yang bersepakat menyokong RUU 164 ini.

Perlulah diperjelaskan bahawa PAS bukannya menentang penyelesaian terhadap isu status perkahwinan Muallaf dan pasangannya, apa yang PAS mahukan ialah RUU 164 ini diperbaiki semula agar ianya benar-benar menyelesaikan masalah.

RUU versi baru itu baru sahaja dibentang untuk Bacaan Kali Pertama pada hari Selasa, tiba-tiba Kerajaan terus tergesa-gesa mahu meluluskannya pada Rabu.
10. Untuk jangka masa panjangnya, kelihatannya sudah wujud usaha bersepadu yang terancang antara BN dan PH untuk meminda Perlembagaan bagi mengharamkan terus Unilateral Conversion sedangkan tindakan itu bercanggah dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Mahkamah Persekutuan. 

Adakah kita masih boleh berharap kepada BN dan PH untuk membela nasib anak Muallaf yang sepatutnya diselamatkan akidahnya daripada dimurtadkan oleh pasangan yang bukan Muslim itu.? 

Masa akan menentukan adakah itu akan benar-benar berlaku pada suatu hari nanti.
Catatan oleh;

Syed Ahmad Fadhli 

Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS 

10 Ogos 2017
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10213835024613138&id=1333302954

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s