Hilangnya Melayu Islam

HILANG KEMELAYUAN HILANG JUGA ISLAM DI NUSANTARA

.

Rasulullah mengajar kita melihat TANDA untuk ditafakur, tadabur dan tabayunkan rangka islah atas setiap perkara. Hari ini ingin kami nampakkan tanda kejatuhan jatidiri bangsa ini melalui kehancuran warisan ‘PAKAIAN MELAYU’ yang SUDAH LAYU.
Dahulu, disiplin dan adat berpakaian Baju Melayu sangat tegas ditekankan oleh ibu bapa kita. Baju Melayu WAJIB dipakai dengan ‘sempurna’ semasa ke masjid dan majlis keluarga. 
Hari ini, bapak-bapak sudah tidak lagi perduli untuk menegur anak-anak moden yang tidak berpakaian baju Melayu dengan sempurna, sekalipun dalam majlis rasmi negara yang menetapkan ‘Baju Melayu’ sebagai pakaian rasminya.
Atas pengaruh barat yang diketengahkan oleh artis, kini sudah tidak terasa janggal lagi apabila lelaki berbaju melayu tanpa sampin. Sudah bersamping tidak mengenakan butang. Sudah lengkap semuanya, tidak bersongkok pula. 
Rambut pula ada berbagai corak. Ada yang berbalung ayam macam trojan. Budaya hipster pula mengenengahkan fesyen-fesyen kotak, botak di tepi, bergaris garis tambahan di tengah dan kiri kanan kepala dan entah apa-apa lagi.
Bermula tahun 2000 dahulu, tabiat baju melayu tanpa songkok ini hanya berleluasa di kalangan artis remaja dan dilakukan dalam majlis kurang rasmi sahaja. Hari ini ia sudah jadi amalam biasa oleh setiap golongan dan di semua keadaan. Tidak kira tua, muda, yang berpelajaran tinggi, bahkan golongan Datuk dan pelbagai Seri pun ikut melakukannya termasuk dalam majlis rasmi. 

.

APA ITU MELAYU?
Sekitar 700 tahun lalu, Sultan Muhammad Shah telah menjadikan pakaian Melayu ini pakaian kenamaan dan kemudian menjadi pakaian marhaen. Sebenarnya, Baju Melayu telah wujud dalam dunia keMELAYUAN yang berasal dari Tanah Jawa. 
MELAYU secara istilah Bahasa Melayu itu sendiri adalah sangat negatif takrifannya. Namun jika ia  ditakrif dari tempat asal MELAYU dilahirkan iaitu di Tanah Jawa, maka maksudnya ialah “LARI / BERPINDAH”. Dalam bahasa Arab ia bermaksud HIJRAH. 
Bangsa MELAYU ialah ‘rumpun’ bangsa yang MENYATU dan BERHIJRAH kepada Islam daripada jahiliyah. Mereka berhijrah dari Kerajaan Majapahit, Srivijaya kepada Kerajaan Monarki Melaka yang membawa Islam untuk dikembangkan di sana. Asas kalimah MELAKA (MALIK) itu sendiri ada dalam Fatihah. POKOK dan BUAH Melaka itu juga dari wahyu Allah (QS 14: 24-25). 
Namun kini, itu semua hanya tinggal sejarah. Melaka yang terkait dengan RAJA itu sendiri sudah tidak beraja lagi. Pokok Melaka juga sudah tidak diketahui asal usulnya. Buah Melaka pun sudah jadi kuih biasa sahaja. OUR STORY, asal usul Islam dan Melayu ini sudah pupus, digantikan dengan HIS STORY.

.

APA MASALAH BAJU MELAYU? YANG PENTING TUTUP AURAT BUKAN?
Ya benar, yang wajib itu menutup aurat, tetapi apa itu AURAT? Itulah tarikan nafsu dari susuk tubuh dan gerak laku yang menerbitkan ‘aura’ syahwat.
Harus diingat bahawa Islam dikembangkan melalui budaya dan adat. Islam itu satu gayahidup yang sejahtera. Justeru untuk jadi sejahtera, gaya hidup dalam adat dan budaya perlu diIslamkan juga. 

.

APA KENA MENGENA PULA BAJU MELAYU DENGAN SYARIAT ISLAM? 
Hari ini umat Melayu pun sudah keliru. Banyak adat Budaya yang batil seperti tarian-tarian yang asalnya dari pengaruh Hindu masih diteruskan. Kerajaan sendiri malah keluarkan bajet melalui  JKKN untuk memastikan budaya itu tidak mati. 
Cendiakawan dan pemimpin Melayu sendiri sudah tidak tahu yang mana satu warisan Melayu dan yang mana satu warisan Hindu. Penari-penari wanita berkebaya ketat dan jarang, bersanggul lintang, berpunak unta berliang liut menari sehingga membuat lelaki jadi berahi. Yang itu gigih dipertahankan. 
Pada masa yang sama Baju Melayu lengkap berbutang, bersampin dan bersongkok sudah semakin dilupakan. Budaya kompang, selawat dan marhaban ketika menyambut tetamu, khususnya tetamu VIP oleh barisan lengkap berpakaian Melayu yang menjadi amalan orang dahulu sudah tiada yang ambil tahu. Sambutan VVIP pun sudah berganti dengan acara tari menari.
Semasa terlibat dalam majlis sambutan seorang Menteri Besar, kami yang lengkap berbaju Melayu dan diminta bersolawat dan marhaban oleh Datuk DO terpaksa mengalah. Sebahagian urusetia tetap berdegil untuk teruskan juga sambutan dengan gerak pinggul tarian anak-anak gadis berpakaian ‘tradisional’ yang ketat, dengan bengkung di pinggang dan belahan dada yang erotik. 
Telah menjadi kebiasaan untuk orang kita memaksa anak gadis yang biasanya bertudung itu melepaskan tudungnya bagi memperagakan sanggul lintang berpunak unta. Jelas kita sudah tersilap konsep. Kita pelihara yang patut dimansuhkan dan mengikis pula warisan Pakaian Melayu yang patuh syariah. 

.

APA RAHSIA BAJU MELAYU?
BUTANG Baju Melayu ada 5 ataupun jika Johor hanya 1. Itulah 5 rukun Islam yang wajib kita IKATKAN KESEMUANYA menjadi pakaian yang baik dan cantik. Yang hanya satu butang seperti di Johor pula mengingatkan kita tentang TAUHID kepada yang satu dan satu-satunya (Esa). 
Baju Melayu ala hipster hari ini pula sudah tidak begitu kisah untuk mengenakan butang lengkap. Sama juga seperti gaya hidup anak-anak moden zaman ini, keIslaman mereka juga tidak lengkap. Mereka ikut sebahagian namun meninggalkan sebahagian yang lain. 

.

SONGKOK menjadi pelengkap Baju Melayu. Tutup kepala yang sama warna itu adalah analogi ‘SEKEPALA’. Itulah PENYATUAN KEFAHAMAN dalam Islam. Biar bajunya berlainan warna, namun warna songkok di kepala tetap sama.
Hari ini, gara-gara artis popular mengenakan baju Melayu dengan gaya rambut berceracak dan berbalung seperti ayam jantan, maka secepat itu ia ditiru. 
Peranan songkok nampak kecil, tetapi jika adat budaya tidak dijaga, maka beginilah hasilnya. Masyarakat ini jadi berantakan. Cuba fikirkan tenang-tenang jika sampai ke baris ini masih kurang faham apa yang kami cuba sampaikan. 
Senario politik hari ini begitu juga. Ada yang pakai baju hijau (PAS), ada yang pakai baju merah (UMNO), ada yang pakai baju biru (PKR), ada yang pakai baju oren (PAN) dan sebagainya. Jika masih ada baju Melayu lengkap berbutang lima serta songkok yang sama, itu jadi tanda paksi agama mereka masih sama. Namun HILANGNYA songkok dari kepala memberi tanda sebaliknya.
Melayu sebagai umat majoriti negara ini semakin berantakan kerana mempertahankan perbezaan dan melupakan persamaan mereka dalam agama. Alangkah baiknya jika kita mampu sematkan dalam hati, “Inilah simbolik penyatuan” ketika memakai songkok dan kopiah. Keluarnya kita dari rumah untuk saling bantu membantu, mencari titik persamaan, bukannya menekankan perbezaan. 

.

SAMPIN juga ada peranan syariat untuk menutupi aurat dalam PEKEJ BAJU MELAYU. Cuba bayangkan apa jadi pada saf belakang yang melihat punggung dan kelengkang kita yang tidak bersampin ketika rukuk dan sujud. Justeru adakah ini sekadar satu ciptaan fashion yang boleh diolah? Sebenarnya tidak!!

.

APA JADI PULA DENGAN BAJU KURUNG WANITA MELAYU? 
Dahulu baju kurung untuk 1 orang boleh masuk 2 orang longgarnya. Di dalam kain ada seluar panjang dan selapis ‘kain dalam’. Punggung dan peha ditutup pula dengan bahagian bawah Baju kurung yang labuh. 
Dahulu tiada tudung seperti mini telekung, tetapi wanita Melayu yang terpelihara akan diminta menutup kepala dan dada dengan kain batik, pelikat atau selendang setiap kali keluar rumah. 
Kini BAJU KURUNG sudah jadi ‘Kurung Moden’ yang ketat dan singkat. Dengan adanya material fabrik yang elastik, baju kurung pun sudah nampak macam kebaya. Habis segala bukit, lembah dan parit semua kelihatan bentuknya. Lalu di mana Islamnya dalam budaya hidup kita?
Hari ini wanita Melayu malah berebut-rebut memakai jubah ketat. Lebih malang lagi jika pemakainya tidak memakai pakaian dalam yang sesuai. 
Jangan lihat pada pakaian pelakun atau golongan yang berhaluan kiri di zaman dahulu sebagai perbandingan hari ini. Golongan yang ingkar ini tetap ada pada setiap zaman. Mereka akan ‘berusaha’ untuk lari dari syariat Islam agar dilihat seksi dan mampu menggoda. Inilah tabiat syaitan sebenarnya. 

.

KESIMPULANNYA
Dahulu jika bapa terlihat anak buka songkok atau tidak bersongkok ketika berbaju Melayu, maka balik nanti akan ada yang dapat batang penyapu. 
Tapi sekarang, dalam majlis rasmi melibatkan peranan bapa dan anak sebagai penyambut tetamu, bahkan melibatkan Majlis rasmi kerajaan dan institusi pengajian tinggi sekalipun disiplin itu tidak berlaku. Anak-anak, pelajar universiti bahkan urusetia majlis rasmi negara yang berpakaian baju Melayu siap bersampin membiarkan sahaja petugas rasmi mereka tidak bersongkok di hadapan ibubapa dan ketua mereka. 
Jelas sekali bahawa bapa-bapa dan pemimpin negara pun sudah tiada lagi kuasa dan karisma kepimpinannya. Lebih sadis lagi apabila pemimpin negara bergelar Datuk dan Seri sendiri pun sudah ada yang ikut berpakaian baju Melayu tanpa sampin dan songkok dalam majlis rasmi mereka sendiri. Kononnya itu satu kemodenan bagi mereka. Budaya dan adat Melayu yang berpaksikan syariat Islam disia-sia.  Budaya jahiliyah kuno dan kacukan inspirasi dari artis-artis Barat pula yang mereka puja. 
Islam ini ibarat software. Tanpa hardware (budaya dan adat) ia seperti sebuah software yang Mahabagus tetapi tidak mampu diperjalankan. 
Setiap budaya ada kelainannya, tetapi fungsi syariahnya tetap sama. Di Turkey, mereka mengikat serban dengan cara yang sama. Di negara Arab mereka gunakan serban berlainan ikatan untuk sanad komuniti pengajian mereka. Selepas saie dan bertahallul, mereka akan pakai kopiah putih semuanya sebagai tanda semuanya kembali berfahaman sama. Pakaian dan adat itu sendiri memberi tanda kepada KEISLAMAN dan KESATUAN AKIDAH mereka.
Kehancuran PAKAIAN MELAYU yang patuh syariat ini sudah terlalu parah sebenarnya. Ia berlaku selari dengan pencemaran budaya dan kejahilan agama. Itulah qada’ dan qadar kita.
Apapun ia mampu diubah melalui seru dan doa dari peringkat keluarga dan negara. Marilah kita seru sama-sama untuk tingkatkan jatidiri anak bangsa Melayu kita. Islam akan kembali berdaulat jika kita mematuhi syariat. Mulakan dengan baju Melayu yang lengkap. Jika BUTANGnya ada 5, maka kancinglah semuanya. Tutupilah punggung dan celah kelengkang kita dengan SAMPINnya. Satukan kefahaman kita dengan SONGKOKnya. 
Adat dan Budaya ini ialah platform untuk doktrin Islam menyerap semula selepas ia dikelirukan oleh penjajah dan musuh agama. Hilang adat dan budaya, hilanglah juga agama. 
Allah berikan ‘syariat berpakaian’ sahaja dari langit. Baju Melayu dan Baju Kurung adalah bukti ketakwaan kita dalam mematuhi syariat itu. Itulah pakain taqwa namanya. 

.

Semuga bermanfaat,

WARGA PRIHATIN

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s