Perpecahan Umat Islam

ISLAM BERCEMPERA, ISRAEL BERTEPUK TANGAN
Oleh: Muhammad Alif Najmi
Sedar tak sedar, sudah 6 minggu telah berlalu sejak pemutusan hubungan diplomatik dan pengangkutan antara negara-negara Teluk dengan Qatar. Tindakan drastik yang dilakukan oleh Emiriah Arab Bersatu ( UAE ), Mesir, Bahrain dan Saudi akan terus kekal sebegitu, selagi Qatar tidak mahu tunduk kepada kehendak gelojoh mereka.
UAE, Saudi dan sekutunya mahukan agar semua ‘pelampau’ yang sedang berada di Doha itu ditangkap dan Qatar juga perlu berhenti dari menyalurkan bantuan kepada gerakan Hamas di Palestin — ini merupakan suatu permintaan yang cukup tidak masuk akal dan mustahil untuk dikabulkan oleh Qatar.
Qatar sememangnya secara terbuka membantu Hamas. Umum mengetahui bahawa gerakan fenomenal yang ditubuhkan oleh Asy-Syahid Shaykh Ahmed Yassin itu, merupakan perisai umat Islam dan rakyat setempat secara amnya di Palestin sejak sekian lamanya. 
Namun, tindakan UAE mutakhir ini bukanlah dilihat membantu, malah merencatkan lagi usaha murni yang telah dan sedang diusahakan oleh Qatar. Jelas sekali, kesatuan umat Islam dirobek dengan begitu mudah sahaja, sehingga Israel pula semakin berani mebonjolkan tanduknya.
Kali terakhir ialah pada tahun 1969, Masjid Al-Aqsa ditutup dan sehinggalah pada 14 Julai 2017 sekali lagi ia ditutup dan umat Islam terhalang untuk menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut.  Walakin Israel sedar bahawa tindakannya itu melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi mereka tetap dengan beraninya menutup Masjid Al-Aqsa.
Dahulu, Saudi-lah yang paling vokal mengecam sekeras-kerasnya tindakan Amerika yang menjadi dalang disebalik tragedi 11 September 2011. Ironinya, hari ini mereka telah berubah menjadi satu suara dan sekutu bersama Amerika dalam agenda memerangi gejala  ‘terorisme’. Kita pun berasa pelik, bagaimana situasi rakyat yang cuba melindungi dan mempertahankan negara mereka sendiri daripada diserang dengan percubaan bunuh setiap hari itu, dilabel sebagai ‘pengganas’ ?
Katakanlah ada seorang perompak yang datang memecah masuk rumah anda. Perompak itu cuba mengugut untuk membunuh keluarga anda yang ditangkap. Kemudian, anda pun cuba sedaya untuk menyelamatkan mereka, — ataupun paling tidak anda cuba untuk melindungi diri sendiri,ꟷ lalu logikkah anda pula yang dituduh sebagai pengganas? Namun, inilah realiti yang sedang berlaku pada hari ini.
Di akhirnya, Israel jugalah yang bertepuk tangan. Kala itu, barulah kita akan menyedari dari lena yang panjang. Alangkah malangnya umat Islam yang bergaduh sesama sendiri, sepertimana yang selalu digambarkan oleh Shaykh Abdul Hadi Awang, “..alu dengan lesung berlaga, yang kenyangnya ialah ayam..”
Antara langkah untuk memecahkan kesatuan umat Islam seperti yang pernah disebutkan oleh Scouck Hurgronje (1911) di dalam bukunya ”Nederland en de Islam”,  ialah melalui memisahkan umat Islam daripada kehidupan beragamanya. 
Ini termasuklah memisahkan Islam daripada kehidupan ideologi (”Das Vorstellungsleben”) menjadi tugas yang utama setelah melihat kepada Islam merupakan remedi paling mujarab dalam menyatukan pemikiran umat Islam. Ideologi dan kiblat politik pemimpin tertinggi negara umat Islam hari ini ramainya bertumpu kepada Amerika dan sekutunya. Segala yang dikatakan oleh Barat akan menjadi benar dan muluk belaka.
Bukan sahaja di Asia Barat isu perpecahan ini berlaku, bahkan kita di rantau ini turut terkesan dengan perbalahan isu-isu furu’iyyah. Sikap tertutup untuk menerima buah pandangan pihak lain terjadi akibat daripada sifat fanatisme dan ekskulisivisme yang semakin berjangkit sesama umat Islam sendiri. 
Kesan daripada perpecahan umat Islam sangat bahaya kerana dalam apa-apa hal, mereka akan kembali untuk menganilisa masalah dengan lebih mendahulukan ‘siapa’ (”who”) dan bukannya ‘apa’ (”what”) seperti yang pernah disebut oleh Imam Munawir (1985) di dalam bukunya ”Mengapa Umat Islam Dilanda Perpecahan”. 
Generasi pertama penduduk negara Israel hanyalah merangkumi seramai 32 peratus populasi sahaja daripada jumlah keseluruhan penduduk di Semenanjung tanah Palestin, dan bilangan ini terus meningkat dengan mendadaknya dekad demi dekad. 
Kini, mereka berjaya menjarah hampir keseluruhan tanah yang mulia tersebut. Di manakah peranan kita semua sebagai umat Islam?

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s