Analisis RUU355 – DSM

Tanggungjawab dan Cabaran PAS Pasca Pembentangan RUU 355: Analisis Ringkas Dari Perspektif Fiqh al-Ikhtilaf 
Tahniah kpd PAS yg telah berjaya membentang usul pindaan RUU 355 Khamis lalu. Ia satu kejayaan awal yg bermakna. Begitupun, liku-liku dalam route map pasca pembentangan usul pindaan RUU 355 minggu lalu masih jauh. Tanggungjawab PAS tidak terhenti setakat kejayaan pembentangan usul ini sahaja. Ia baru kejayaan mengelecek di awal game, belum jaring gol lagi. Tiupan wisel penangguhan game oleh pengadil bukan bermakna satu kemenangan. Kemenangan ialah jaringan gol yg mengatasi pihak lawan setelah tamat masa permainan, iaitu apabila usul pindaan ini diluluskan di Dewan Rakyat. 
Sehingga itu, ia tidak melalui jalan mudah.  Pelbagai cabaran rintangan sedang menanti dan ini menuntut PAS supaya menyusun strategi dan langkah yang penuh berhikmah sebelum fasa perbahasan dan pengundian pada sidang Julai nanti. Polemik dan perbahasan di luar dewan lebih gawat dan gamat. Oleh kerana PAS mengambil tanggungjawab menggalas bebanan RUU 355 ini dari pihak kerajaan, maka ia juga terpaksa memikul cabaran-cabarannya.
Lantaran PAS dilihat sebagai pencetus polemik hudud sejak awal, yg kemudiannya diterjemahkan sebahagiannya dalam RUU ini, maka mereka adalah pihak yg dilihat paling bertanggungjawab menangani polemik dan mengurus ikhtilaf yg timbul dlm kalangan ummah dan rakyat Malaysia amnya berhubung isu ini. Polemik antara pihak PAS dan bekas sekutunya PH dalam isu ini wajar diharmonikan untuk kebaikan ummah dan Malaysia yang lebih sejahtera. Antara cabaran-cabaran yang perlu ditangani oleh PAS ialah: 
1. Cabaran menangani elemen “penentangan.” “Penentangan” ini dilihat datang dari dua pihak, iaitu pihak bukan Islam dan kedua dari kalangan umat Islam sendiri. “Penentangan” non Muslim  ini haruslah diperhalusi adakah ia semata-mata kerana sentimen Islamophobia, anti Islam atau apa? Kelihatan semua parti politik non muslim sepakat menentangnya atas alasan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan didakwa sebagai pintu belakang ke arah pelaksanaan hudud sebenar. Malaysia mahu dikekalkan dengan status sekularnya. Ada faktor ketakutan dalam kalangan non Muslim terhadap hudud kerana mungkin ia disalah ilustrasikan dengan pelbagai gambaran hodoh oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum ini. 
Ini satu cabaran yg besar bagi PAS.

Kaji faktor-faktor penolakan mereka dan ambil peluang ini untuk mendekati mereka semula dengan menonjolkan keindahan Islam sebagai agama yang membawa kesejahteraan kepada semua. Hapuskan paranoid mereka dengan dakwah berhikmah anda. Seharusnya tempoh yang agak lama mereka bersama dengan non Muslim dalam PR dulu menjadi pelajaran bernilai utk mencari jalan terbaik mendekati golongan yg “takutkan” Islam ini. Guna kreativiti anda untuk sampaikan keindahan Islam. Runtuhkan tembok “kejahilan” mereka tentang keindahan syariat Islam dengan ilmiah, dakwah bil hikmah dan maw’izah hasanah.  Hentikan pengharbian, melabel mereka sebagai musuh Islam, butir najis dan sewaktu dengannya. Manusia memang memusuhi apa yang mereka tidak tahu (mafhum hadis). Ingat, mereka adalah rakan-rakan seperjuangan anda juga satu ketika dahulu. Firaun manusia terjahat pun Allah perintahkan Nabi Musa dan Harun berkata lembut. Inikan pula mereka yg pernah anda sepentas bersama. Basysyiru wa la tunaffiru.. 
Bagi “penentangan” dalaman pula, ia cabaran tahap kedua yg mungkin agak mudah ditangani jika kena gayanya. Penentangan ini datang dari blok PH dan pihak lain yang tidak berkenan dengan kaedah dan pengurusan RUU 355 ini. Ini kerana tiada seorang pun orang Islam yang akidahnya sahih dan akalnya waras sanggup dan betul-betul menentang hudud atau pelaksanaan syariat Islam dalam ertikata penentangan sebenar. Berlaku “penentangan” ini adalah ekoran: 
(a) “Kekeliruan” kenapa RUU ini datang dari jalur politik, bukan dari jalur perundangan, kehakiman dan akademik. Dan kenapa ia perlu dibawa oleh PAS sebagai parti pembangkang, bukan kerajaan sendiri. Mereka berhujah, bukankah lebih baik dan mudah jika kerajaan sendiri yang membawanya dan malahan pula, ia bukannya undang-undang hudud sebenar sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS. Ia hanya peningkatan bidangkuasa MS. Justeru, PAS perlu hujahkan justifikasi pembawaan usul RUU 355 ini dengan argumentasi akademik dan rasional  bukan dengan emosional.
(b) Dakwaan kelemahan-kelemahan yang dikesan pada terma-terma dan klausa RUU yang kelihatan pindaannya agak drastik; tidak berlaku usaha pemerkasaan Institusi Mahkamah Syariah secara holistik, masalah kesediaan infrastruktur dan sumber manusia, penggunaan peruntukan bidangkuasa sedia ada (3,5,6) yg di bawah penanda aras dan masih tidak optimum, kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa oleh Hakim MS,  dan seumpamanya. Isu-isu ini perlu diperjelaskan dengan baik dan diperincikan penyelesaiannya secara tuntas dan realistik bukan dengan menolak secara sinis dan hujah simplistik.
2. Cabaran menangani, memperbetul dan memulihkan persepsi negatif yg memandang PAS sbg rakan sekutu baru atau mangsa politik Umno. Adanya rundingan Umno dalam isu RUU 355 ini seolah ada satu bentuk kesefahaman atau pakatan antara PAS dengan musuh tradisinya. Bagi kalangan akar umbi PAS, ini agak membingungkan kerana mereka masih lagi tertanam dengan paradigma tradisi iaitu Umno dan BN adalah musuh ketat politik mereka dulu, kini dan selamanya. Mereka bimbang dikhianati sekali lagi oleh Umno dan mahukan keputusan hitam putih. Ini adalah satu cabaran bagi pimpinan PAS untuk memulihkan persepsi ahli, penyokong, pengikut dan pengundi di peringkat akar umbi.
Bagi pembangkang, penyokong PH dan sebahagian rakyat pemerhati, persepsi negatif terhadap PAS dlm kes RUU 355 ini memang tidak dapat dielakkan dan agak mustahil dapat ditangkis kerana hubungan mesranya dengan Umno dan pihak kerajaan. PAS dan Umno dianggap sebagai pihak yg cuba memainkan drama RUU 355 ini untuk kepentingan politik masing-masing. Umno dilihat sebagai pihak yg sengaja membiarkan PAS menghijack agenda kerajaan dalam isu ini utk mendapat political mileage secara mudah. Mungkin cabaran yg ada ialah meminimakan persepsi negatif sebegini dengan dgn  membuktikan keikhlasan mereka untuk membantu pihak kerajaan mengukuhkan pelaksanaan syariat Islam tanpa sebarang agenda tersembunyi. Mungkin tidak begitu banyak yang boleh PAS lakukan utk menghapus persepsi ini.
3. Cabaran melipatgandakan agenda tarbiah dan dakwah dlm kalangan ahli dan pengikut. Polemik RUU 355 ini telah lama dilihat sebagai salah satu punca perbalahan sengit antara pengikut PAS dan penentang mereka. Terlalu banyak elemen konfrontasi yg dijelmakan dalam bentuk kritikan  dan pelabelan negatif, tuduhan anti Islam, kufur, fasiq, munafiq, musang berbulu ayam dan lain-lain ungkapan yg menusuk hati dan tidak melambangkan peribadi luhur, adab ikhtilaf dan akhlak Islam. Ia seolah menjadi wirid dan mainan lidah penyokong, malah dalam kalangan pimpinan juga. Ia harus dihentikan dan dikawal oleh pucuk pimpinan melalui tarbiah yg mantap. PAS sebagai parti Islam yg senior sepatutnya menunjukkan teladan akhlak yang baik kepada umat Islam, sesuai dengan imej Islam yg dibawanya. Biarlah nama suci Islam yg dibawa disertakan dan dibuktikan dengan tingginya nilai akhlak dan adab. PAS perlu menterjemahkan prinsip politik matang yg dislogankan dengan menunjukkan kemajuan dari aspek kawalan lidah dan adab. Pengalaman PAS selama lebih separuh abad di persada politik negara dan keterlibatan pimpinannya di peringkat antarabangsa sepatutnya mengajar PAS supaya lebih matang dan berkemahiran aras tinggi dalam menggunakan bahasa dakwah. Jadilah ‘Ibadur Rahman yg apabila dicela oleh org jahil, mereka membalas dgn kalimah yg sejahtera. 
4. Cabaran mengawal perpecahan ummah. Akibat polemik RUU 355, umat Islam dilihat terpecah antara golongan pro dan kontra. Akibatnya api persengketaan semakin tidak terkawal, debat maya diselubungi dgn emosi dan sarat dengan hamunan, kutukan,  seranahan dan caci maki. Ia yang menjadi paparan yang semakin subur di media sosial. Mahu atau tidak, perlu diakui bahawa kerosakan telah berlaku.  PAS berlu berperanan di sini sebagai pendamai dan pengawal. Ia tidak boleh dianggap sebagai casualty of war yg tidak dapat dielakkan. PAS seharusnya menyusun strategi dan menggunakan pendekatan yg lebih lunak supaya agenda pemerkasaan syariat Islam  tidak membawa kepada mafsadah perpecahan umat Islam. Jika mafsadah ini berlaku, maka ia sangat merugikan ummah. Carilah kaedah dan manhaj yg memenangkan semua pihak.
PAS perlu menggunakan peluang dalam tempoh bertenang 3 bulan ini untuk memikul cabaran-cabaran di atas dgn penuh tanggungjawab. Masih ada peluang utk memulakan atau meneruskan siri-siri rundingan dengan pihak-pihak yg “menentang” RUU 355 ini. Dekati mereka dengan hikmah dan lunak. Ambil contoh konflik kerajaan Malaysia dengan Korea Utara yg dapat diselesaikan di meja rundingan dan kaedah diplomasi. Konfrontasi tidak menyelesaikan konflik. Rundingan, kompromi dan toleransilah yg sangat berkesan. 
Pendekatan ofensif mungkin tidak lagi relevan dgn senario politik sekarang. PAS bukan sahaja parti politik, ia adalah parti dakwah yg membawa bendera kesyumulan dan wajah indah Islam. Amaran sekehan, penggunaan siku dan lutut, terminologi keras, mempernajiskan pihak penentang secara terbuka dan lantang tidak sesuai dengan kemuliaan dakwah dan akhlak Islam. Slogan istiqamah hingga kemenangan  janganlah menafikan hikmah, kebijaksanaan dan kelunakan dalam manhaj berdakwah. Anggaplah yg menentang anda sebagai mad’u bukan musuh. Keras dlm dakwah menyebabkan mad’u lari bertempiaran (mafhum  ayat 159, surah Ali ‘Imran). Kawal amarahmu dan sirnakan wajahmu dengan keindahan hikmah dan pantulan keadilan.
PAS kaya dengan pengalaman sepak terajang dalam politik selama lebih 60 tahun. Dengan status ini, PAS seharusnya menjadi ikon politik Islam yg menunjukkan qudwah dan uswah yg hasanah. Mereka patut berjiwa besar dalam menghadapi polemik dan menangani perbezaan pandangan. PAS tidak wajar terpasung dalam paradigma lama parti yg dulunya dianggap taraf kampungan dan parti lebai. PAS sekarang penuh dgn golongan ulama dan profesional yang gandingan mereka seharusnya membawa parti ke aras  yg lebih dinamis dalam worldview dakwah. Pas seharusnya menjadi pendamai antara yg bertelagah, memberi inspirasi dan mengartikulasi kepentingan ummah. Tidak berbaloi mereka terlibat dgn polemik yg merugikan ummah. 
Cabaran utk mengerah dan menghimpunkan penyokong di medan demonstrasi adalah lebih mudah dari menangani cabaran-cabaran memikul tanggungjawab dan amanah dakwah dan pengislahan ummah. Ini warisan tugasan nabi dan rasul yg penuh ranjau dan onak. Sesuci misi nabi dan rasul, laksanakan ia dengan penuh hikmah, keadilan, kemuliaan adab dan kesantunan akhlak.
DSM

11.04.2017

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s