Model Universiti Islam

Jika ada orang bertanya di mana model IPT Islam moden, apa rakyat Malaysia hendak jawab? 

.
Menjelang sinar pertama alaf baru dan abad ke-21, umat Islam wajar menyemak kembali persiapan diri dalam perspektif global. Kita harus faham bagaimana Barat berjaya menguasai ekonomi dan sosiopolitik dunia. Sebenarnya, keadaan ini berlaku disebabkan penguasaan benua Amerika Utara dan Eropah dalam semua bidang ilmu dan kebudayaan melalui universiti-universitinya.
Melalui kajian dan penyelidikan pengajian tingginya, Barat mendidik kaum terpelajar dunia Islam dan Timur sama ada dari segi ekonomi, sains dan teknologi, pentadbiran awam, sosiologi, falsafah, mahupun agama. Secara yang cukup licik, Barat secara senyap-senyap menyusup di semua kedudukan dan jawatan strategis dunia melalui saluran pemikiran, ilmu dan pendidikan.
Justeru, idea dan pengaruh Barat menjadi satu cabaran amat besar terhadap bangsa-bangsa yang lain. Cabaran ilmu dan pengetahuan ini hanya mampu dipecahkan sekiranya kita memiliki universiti-universiti sendiri yang sekaligus bercirikan Islam dan moden.
Institusi pengajian tinggi kita mesti mandiri dan bercirikan Islam kerana kita tidak mungkin maju dengan sekadar meniru-niru atau menokok model universiti Barat. Pusat pengajian seperti itu akan sekadar menjadi bayang-bayang yang sentiasa mundur di belakang, bayang-bayang yang sentiasa menghadap kearah Barat sebgai kiblat, sentiasa ketinggalan seperti hamba yang mengekori tuannya universiti Barat sekular.
Oleh sebab itu institusi-institusi pengajian tinggi mestilah benar-benar memahami ilmu-ilmu keislaman dengan mendalam, baik dalam bidang akidah, perundangan, akhlak, falsafah, sejarah, kesusateraan, sosiologi, mahupun sains dan teknologi. Ini hanya dapat terlaksana jika kita kembali secara “profound” kepada sumber asal agama Islam (al-Qur’an dan as-Sunnah) melalui huraian autoritatif para ilmuwan yang berkewibawaan di sepanjang sejarah gemilang Islam, oleh mereka yang berkeahlian dari aliran kalam, falsafah (hikmah) mahupun metafizik (tasawuf).
Konsep-konsep utama Islam seperti Tuhan, tanzil dan wahyu (al-Qur’an), Rasulullah, alam semesta, manusia dan jiwanya, ilmu pengetahuan dan ilmu pengenalan (al-Makrifah), agama, kebebasan, akhlak, adab dan kebahagiaan dan sebagainya lagi hendaklah direlevankan dengan pelbagai bidang pembangunan dan kemajuan umat Islam dalam zaman moden ini, sama ada dari segi birokrasi mahupun dari segi profesionalisme. Serentak dengan itu unsur-unsur pandangan hidup Barat seperti dualisme, humanisme, tragedi dan ideologi-ideologi sekular selainnya harus disaring dan dihindarkan dari sistem ilmu pengetahuan dan pendidikan semasa.
Inilah peri pentingnya Islamisasi ilmu pada zaman kita ini untuk menyediakan jawapan Islam yang sepenuhnya terhadap cabaran-cabaran pemikiran dan kebudayaan dunia moden dan pascamoden. Ini juga memerlukan falsafah pendidikan, sains, seni dan arkitektur Islam yang berlainan dengan falsafah Barat. Hasil dari rumusan penyelidikan dan kajian tersebut kemudiannya hendaklah disebarkan dengan cekap dan berkesan kepada kaum terpelajar umat Islam antarabangsa untuk menjadi pedoman dalam menyongsong sejarah dunia dan hari muka.
Jika semua ini tidak kita laksanakan, kita akan menjadi apa yang diistilahkan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai “marginal society” atau masyarakat pinggiran iaitu, masyarakat yang terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, lalu berpegang kepada nilai-nilai kebudayaan yang keliru yang gagal dibezakan antara yang benar dengan yang palsu.
Sekali lagi kita ulangi, bahawa usaha untuk memastikan kewibawaan sesebuah institusi pengajian tinggi merupakan satu tugas yang bukan alang kepalang sukarnya. Ia memerlukan seorang yang benar-benar berkebolehan, mahir lagi berkaliber tentang selok belok pelbagai disiplin ilmu, dan amalan berdasarkan kepada pengalaman peribadi yang luas dan bertahun-tahun di medan keintelektualan dan kemasyarakatan.
Mungkin ada orang lain yang mempunyai kemahiran birokratik dan pengaruh dari segi politik. Walau bagaimanapun, tanpa sebarang asas konseptual – sama ada metafizik mahupun falsafah – orang itu tidak akan dapat menjamin kewibawaan institusi berkenaan.
Seorang birokrat atau politikus tidak akan mampu merumuskan falsafah institusi pengajian tinggi Islam moden. Sedangkan, sesebuah universiti tidak tertubuh dengan cara tiba-tiba. Apatah lagi, bagi institusi yang berwibawa, ia tidak terbina secara sembarangan. Tanpa sebarang falsafah tidak ada mana-mana institusi yang boleh mencapai sebarang matlamat dan tujuan yang tertib.
Haluan universiti akan sentiasa berubah-ubah dengan polisi yang bertentangan dan dasar yang bercanggah antara satu sama lain. Program-program institusi tersebut pula akan diuruskan dengan sewenang-wenangnya sahaj. Tidak akan ada kesatuan dalam perancangan akademik, perpustakaan, penyelidikan, penerbitan dan program pentadbiran.
Perkembangan pendidikan dan institusi pengajian Islam moden di peringkat antarabangsa telah ditelusuri oleh sarjana Malaysia, Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud menerusi dua buku penting beliau “The Beacon on the Crest of a Hill” dan “Educational Philosophy and Practice of Syed Muhammad Naquib al-Attas”.
Pada pertengahan tahun 1973, Syed Muhammad Naquib mencadangkan kepada urus setia Islam yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi agar menganjurkan persidangan sedunia mengenai pendidikan Islam sebagai langkah awal untuk merungkai masalah ilmu, pendidikan dan IPT Islam moden. Hasil perakuan persidangan tersebut yang dianjurkan di Mekah dalam tahun 1977, Malaysia telah merasmikan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dalam tahun 1983.
Untuk peringkat sarjana (MA) dan kedoktoran falsafah (Ph.D) pula, pada awal tahun 1987, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) ditubuhkan yang merupakan salah satu autoriti UIA.
Eksperimen ISTAC banyak bergantung kepada pengalaman luas pengasas dan pengarahnya Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Selama lebih tiga puluh tahun beliau terlibat secara aktif lagi kreatif dalam pemikiran dan tamadun Islam. Bahkan sudah tiga dekad lamanya Malaysia dan dunia Islam mengenali beliau sebagai seorang ilmuwan yang berkebolehan dalam berbagai-bagai bidang agama dan kebuayaan.
Beliau satu-satunya serjana Malaysia yang pernah mendapat penghormatan antarabangsa “Kerusi Ilmiah Pelbagai Disiplin Ilmu” – dari “Kerusi Bahasa dan Kesusateraan Melayu” di Universiti Kebangsaan Malaysia (1972-1984) kepada pemegang pertama “Kerusi Tun Abdul Razak” untuk Pengajian Asia Tenggara di Universiti Ohio Amerika Syarikat (1980-1982) sehinggalah kepada pemegang pertama “Kerusi Abu Hamid al-Ghazali” untuk pemikiran Islam di ISTAC (1993).
Beliau juga pernah ditawarkan dalam tahun-tahun 1980-an untuk menjawat “Kerusi Ibn Khaldun” oleh American University di Washington D.C., Amerika Syarikat. Penguasaan beliau merangkumi sejumlah cabangan ilmu dan budaya. Dari agama dan metafizik hinggalah kepada teologi, falsafah dan sejarah, dari pendidikan, bahasa dan sastera hinggalah kepada seni, seni bina bangunan dan ilmu ketenteraan.
Syed Muhammad Naquib melalui ISTAC, mengimpikan sebuah pusat pengajian tinggi Islam moden dalam struktur akademik, hubungan sosial dan bangunan fizikal.
Beliaulah yang mereka bentuk lanskap dan lakaran pelan bangunan ISTAC. Dari tingkap dan lengkungan gerbang hingga kepada pintu dan jerejak kekisinya, dari lantai dan siling hingga kepada junjung dan altar yang dilengkapi dengan birai hiasnya, dari sesangga dan tangga membawa kepada pagar dan halaman dalam kompleksnya, dari air pancut dan perabot hinggalah kepada hiasan dalaman bangunannya, beliau adalah pereka bentuk dan perancang utama kompleks bangunan ISTAC. Beliau memeriksa, mengawasi dan mengurus pembinaan hampir setiap hari, termasuklah hari cuti umum.
Oleh kerana beliau berkehendakkan agar ciri-ciri bangunan ISTAC menggambarkan dimensi akliah dan rohaniah tradisi Islam (disertai  kesan tradisi Barat yang positif), beliau juga sentiasa berunding dengan para arkitek dan jurutera demi memastikan tiap-tiap pemerincian bangunan tersebut dilaksanakan dengan setepat-tepatnya. Beliau turut terlibat untuk menawarkan harga barang-barang supaya ISTAC memperoleh bahan-bahan binaan yang terbaik dengan harga paling murah. Semua khidmat ini diberikan tanpa mengambil sesen pun yuran profesional.
Dari segi akademik dan sosial, beliau memimpin ISTAC untuk menghasilkan “manusia yang cemerlang”. Di sepanjang sejarah falsafah pendidikan dunia, insan yang cemerlang ini pernah dipanggil dengan beberapa istilah. Para filsuf Yunani seperti Aristotle menggelarnya “Manusia Universal” (Universal Man) sementara ahli-ahli falsafah Barat seperti Leon Battista Alberti menamakannya “Manusia Renaisans” (Renaissance Man). Sementara istilah Islamnya adalah “Manusia Sempurna” (al-Insan al-Kamil) yang kemuncaknya terjelma dalam diri Rasulullah s.a.w. – hamba, abdi dan khalifah Allah yang hakiki. Maksud firman-Nya di dalam al-Qur’an:
Sesungguhnya telah adalah bagi kamu pada Rasulullah itu ikutan yang baik (uswah hasanah) – (al-Ahzab, 33: 21)
Bahawa sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ta’ala itu yang paling bertakwa kepada Allah – (al-Hujurat, 49: 13).
Justeru, menurut beliau, semua institusi pendidikan Islam termasuk ISTAC itu sendiri haruslah menayangkan keilmuan dan perilaku Rasulullah s.a.w. dalam keseluruhan strukturnya: akademik, sosial dan bangunan fizikal. Pertama-tamanya, institusi pengajian tinggi Islam perlu dipimpin oleh seorang ilmuwan yang memiliki pengetahuan yang universal, disiplin akliah dan ciri-ciri kerohanian.
Pemilihan mata pelajaran turut diselaraskan dengan bakat akliah, minat dan kesempurnaan akhlak seseorang penuntut. Tidak lupa untuk diperhitungkan adalah keperluan umat, nusa, bangsa dan negara. Medan pendidikan institusi pengajian tinggi Islam mestilah lengkap dan bersifat pelbagai bidang (multi-disciplinary) sehingga keunikan dan kepelbagaian setiap warga umat dan dunia Islam dapat digembleng sepenuhnya dalam rangka saling bantu-membantu dan hormat-menghormati sesama manusia. Sememangnya sifat saling mengasihi lagi menghormati  sesama manusia itu harus sejajar dengan kecintaan dan sumbangan seseorang terhadap ilmu dan akhlak.
Alhamdulillah hari ini, dalam waktu yang amat singkat, dengan program ilmiah yang begitu mencabar dan tenaga akademik yang cukup terbatas, ISTAC telah mula melahirkan hasil yang cukup bermakna buat umat dan hari muka.
Menjelang sinar mula suria alaf baru, jika ada orang bertanya di mana model IPT Islam moden, rakyat Malaysia boleh menjawab dengan penuh rasa syukur. Menerusi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC). Malaysia dan Kuala Lumpur telah menempah nama dalam peta pengajian tinggi antarabangsa. Bersama-samalah kita memelihara nama baik ini.

Oleh Dr. Mohd. Sani Badron

MASSA, 26 Jun 1999
.
Dipetik Dari Fb: Muhammad Afiq

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s