Menariknya Geopolitik Malaysia

MENARIK GEOPOLITIK FEBRUARI 2017
Sungguh unik bulan ini buat Malaysia. Dari arah Timur, Selatan, Barat, dan Utara, negara ini telah menjadi tumpuan dari segi geopolitik.
1. Dari Timur, isu pembunuhan abang tiri kepada Preisden Kim Jong Un iaitu Kim Jong Nam di Malaysia pada 13 Februari 2017 telah mengejutkan pemerhati politik antarabangsa. 
2. Masih awal untuk menentukan punca sebenar pembunuhan Kim Jong Nam namun menurut Hiroshi Minegishi dan CK Tan, iaitu pengarang Asia Nikkei terdapat setidak-tidaknya empat teori utama yang mendorong Kim Jong Un dan Korea Utara mengambil tindakan sedemikian. 
3. Pertama disebabkan tindakan Jong Nam sendiri yang lantang menegaskan hakikat bahawa diri beliau ialah pewaris utama dinasti Kim, meskipun beliau telah lama menyepi dari membuat sebarang kenyataan politik. 
4. Teori kedua pula diutarakan oleh Jeong Seong-jang, penyelidik senior di Sejong Institute di Seoul yang mengatakan kemungkinan Kim Jong Nam meminta wang dari Pyongyang untuk menyokong gaya hidup mewah beliau, yang mencetuskan kemarahan Kim Jong Un yang mungkin enggan untuk berkompromi.
5. Teori ketiga pula melibatkan kemungkinan persaingan sesama polis rahsia dan agensi perisikan Korea Utara yang berlumba-lumba untuk membuktikan kesetiaan mereka kepada Kim Jong Un.  Teori ini berasaskan pemecatan ketua polis rahsia oleh Kim Jong Un sejurus sebelum pembunuhan Kim Jong Nam ini terjadi.
6. Teori keempat pula melibatkan kemungkinan Kim Jong Un ingin menyekat sebarang potensi China campur tangan untuk mengubah rejim di Korea Utara.  Perlu diketahui isteri dan anak lelaki Kim Jong Nam dilindungi di Beijing manakala dua lagi anak beliau bersama isteri yang lain tinggal di Macau. Kim Jong Nam dilaporkan terlibat dengan urusan eskport persenjataan, laman web perjudian, dan juga penggodaman di mana kemudiannya ‘dicuci’ di Macau yang kemudiannya disalurkan kembali ke Korea Utara dengan bantuan bapa saudara beliau, mendiang Jang Song Thaek, yang telah mati dihukum bunuh oleh Kim Jong Un pada 2013 yang pernah menjadi naib pengerusi  Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan.  Maka kedua-dua individu ini dicurigai Kim Jong Un sebagai berkemungkinan bekerjasama dengan China bagi menggulingkan beliau.
7. Sebenarnya 3 hari sebelum kematian Kim Jong Nam, iaitu pada 10 Februari 2017 Malaysia baru sahaja menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama kebudayaan dengan Korea Utara yang melibatkan muzium, arkib, perpustakaan, kesenian, serta institusi-institusi kebudayaan antara kedua-dua negara.  
8. Perdagangan Malaysia dengan Korea Utara juga dianggarkan berjumlah RM22.72 juta pada tahun 2015 sahaja di mana Korea Utara mengimport minyak terproses, getah asli, dan minyak sawit Malaysia, manakala Malaysia memperoleh produk elektrik dan elektronik, produk kimia, besi, dan keluli dari Korea Utara. 
9. Malah, pada penghujung 2016 Ketua eksekutif Matrade Datuk Dzulkifli Mahmud menyatakan bahawa Korea Utara melihat Malaysia sebagai gerbang pasarannya ke Asia Tenggara.  Sebanyak 18 syarikat Korea Utara telah menyertai ekspo perdagangan di Malaysia pada 2016, berbanding hanya empat syarikat pada 2015.
10. Sebenarnya Korea Utara pernah memiliki rekod memburukkan hubungan diplomatik yang baik demi kepentingan politik mereka, seperti peristiwa pengeboman di Yangon pada 1983 oleh ejen Korea Utara untuk membunuh Presiden Korea Selatan ketika itu, Chun Doo Hwan yang berada di Myanmar. Pada waktu itu hubungan mereka dengan Myanmar cukup signifikan namun mereka tetap melakukan pengeboman yang mengakibatkan kematian 20 orang.
11. Walau apa sekali pun, Tindakan Korea Utara menuduh bahawa “penyiasatan tersebut didalangi oleh pihak yang berada di sebalik tabir” dan “penyiasatan yang dikendalikan bukan bertujuan untuk mendapat tahu punca kematian dan untuk mencari saspek, tetapi bermotifkan politik” telah ditangkis Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal-Ehwal Dua hala Malaysia yang menekankan siasatan dijalankan tanpa memihak kepada sesiapa dengan mengikut undang-undang serta peraturan-peraturan Malaysia.
12. Namun tuduhan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing merupakan penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia hinggakan Duta Besar Malaysia di Pyongyang telah dipanggil kembali ke Kuala Lumpur untuk proses perundingan.
13. Dari Selatan pula, isu Pulau Batu Puteh kembali menarik perhatian hubungan antara Malaysia dengan Singapura. Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengisytiharkan bahawa Malaysia telah memfailkan permohonan semakan ke ICJ pada 2 Februari  2017. 
14. Dari segi sejarahnya Malaysia pernah gagal meyakinkan ICJ pada tahun 2008 yang berpendapat bahawa terdapatnya kependudukan efektif (effective occupation) oleh Singapura yang diperkuatkan lagi dengan sepucuk surat yang diisukan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada tahun 1953 yang secara jelas telah melepaskan kedaulatan Johor ke atas Batu Puteh kepada kerajaan British di Singapura. 
15. Meskipun Artikel 60 Statut ICJ menjelaskan bahawa ‘keputusan adalah muktamad tanpa rayuan’, namun Artikel 61(1) Statut ICJ membenarkan mana-mana negara untuk membuat permohonan semakan dalam tempoh 10 tahun setelah keputusan dibuat sekiranya terdapat bukti baru yang boleh dikemukakan. 
16. Malaysia membuat permohonan berkenaan susulan penemuan tiga dokumen baharu iaitu surat menyurat dalaman pihak berkuasa Tanah Jajahan Singapura, laporan fail pegawai tentera laut Britain 1958 dan peta operasi laut di National Archives of the United Kingdom. Pulau Batu Puteh yang seluas dua padang bola sepak itu terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusuh, Kota Tinggi, Johor dan 25.5 batu nautika dari Tampines, titik timur Singapura. Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura memiliki hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh (Pedra Branca) manakala Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) merupakan milik sah Malaysia.  
17. Secara keseluruhannya, sebagaimana menurut Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semakan semula yang dikemukakan adalah berlandaskan undang-undang antarabangsa dan tidak akan mengeruhkan hubungan dengan Singapura yang merupakan antara rakan dagang utama Malaysia.
18. Dari Barat pula, lawatan Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia dari 26 Februari hingga 1 Mac 2017 yang diiringi oleh Timbalan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman Al-Saud, kerabat diraja, menteri-menteri kabinet, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan delegasi perniagaan dari Arab Saudi menunjukkan isyarat yang bukan kecil.  Lawatan ini bukan sahaja lawatan negara pertama baginda ke Malaysia, bahkan juga yang pertama ke Asia Tenggara.  
19. Arab Saudi yang merupakan rakan dagang Malaysia kedua terbesar di kalangan negara-negara Timur Tengah dengan jumlah dagangan RM13.12 bilion pada tahun 2016, juga boleh dianggap rakan pertahanan utama buat Malaysia di Asia Barat. 
20. Dari segi pertahanan Malaysia pernah dijemput Arab Saudi untuk menyertai latihan ketenteraan North Thunder.  Malaysia juga banyak menerima faedah hasil daripada peluang projek di Arab Saudi yang diamanahkan kepada syarikat-syarikat Malaysia. Adakah ini bermakna Malaysia tunduk kepada segala dasar Arab Saudi? 
21. Tidak kerana Malaysia turut mematapkan hubungan dengan Iran, seperti rancangan rundingan perdagangan bebas (FTA) yang diuruskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sejak penghujung 2016 yang diharapkan dapat dimuktamadkan menjelang hujung 2017.
22. Dari Utara, Myanmar, Misi bantuan kemanusiaan ‘Food Flotilla for Myanmar’ bagi membantu nasib etnik Rohingya mengisyaratkan komitmen Malaysia susulan penganjuran Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya pada Disember 2016 dan juga mesyuarat luar biasa oleh Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Kuala Lumpur. 
23. Kapal ‘Nautical Aliya’ yang berlepas dari Boustead Cruise Centre membawa 2,200 tan bantuan termasuk makanan dan ubat bukan sahaja melibatkan kerjasama pelbagai pihak dalam Malaysia, iaitu Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), tetapi juga dengan  Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki.
24. Namun secara ringkasnya hubungan antara Malaysia dan Myanmar tidak terjejas, bahkan pihak berkuasa Myanmar memberi kerjasama yang memberi petunjuk positif untuk perkembangan dan penambahbaikan bantuan Malaysia untuk jangka masa panjang kepada warga Rohingya.
25. Di bawah imej empat pemimpin: Atas (Kiri) Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud; Atas (Kanan) Kim Jong Un Presiden Korea Utara, Bawah (Kiri) Lee Hsien Loong Perdana Menteri Singapura; Bawah (Kanan) Presiden Myanmar Htin Kyaw.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s