Perjuangan “Objek” atau “Subjek”?

Jelaskan ‘Fikrah’ Sebelum Berjuang.
1. Saya harap tulisan ringkas ini adalah yang pertama dan terakhir berkenaan Mahathir-Anwar. Saya tidak mahu menambah rasa sedia ada ‘bosan’ dengan drama media elektronik dan media cetak yang galak mengapi-apikan orang lain dengan kisah mereka berdua.
2. Saya berada pada Darjah 6 ketika krisis mula-mula meletus antara mereka berdua. Walaupun masih di sekolah rendah, suhu perseteruan politik membahang sehingga tidak sedikit cakap-cakap berlaku di merata-rata tempat. Apa yang berlaku antara mereka berdua selepas itu tidak lagi perlu kepada perincian. Ia sejarah yang diketahui umum.
3. Ketika Anwar dibebaskan pada zaman Pak Lah, kita semua tahu bahawa fokus PKR perlahan-lahan beralih daripada perjuangan berasaskan kezaliman individu kepada perjuangan berasaskan kemaslahatan rakyat.
4. Jika kembali seketika pada Tahun 1999, perseteruan politik Mahathir-Anwar ditafsirkan hanya membekas pada satu-satu bangsa. Tafsiran ini termasuk memberikan laba politik kepada Parti Pembangkang sehingga keputusan PRU-10 tersebut ditempelkan dengan tsunami kecil Bangsa Melayu. Lihat saja keputusan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa kerusi dominan pengundi Melayu pada ketika itu. Walaupun Anwar dipotretkan lambang kepada kezaliman sistem, ada yang memandang bahawa ia adalah perkelahian individu antara Mahathir-Anwar. Lebih tepat, ia perseteruan antara individu sesama bangsa dan pola pengundian pada PRU-10 oleh bangsa lain membuktikan indikator tersebut.
5. Pada Tahun 2004, imej ‘Mr. Clean’ kepada Pak Lah hampir-hampir menyebabkan survival Parti Pembangkang membungkus ikat mati. Ia mesti diakui prestasi pilihanraya terbaik kepada Barisan Nasional (BN) dalam sejarah penyertaan mereka dalam pilihanraya.
6. Walau bagaimanapun pada Tahun 2008, pelbagai skandal yang seolah-olah dibiarkan pada zaman Pak Lah terutama imej Budak Tingkat 4 JPM menghakis kepercayaan rakyat. Dalam keadaan tiada pilihan, rakyat berpaling kepada Parti Pembangkang walaupun ketika itu hanya ada kerjasama politik PKR-PAS dan PKR-DAP. Kerjasama sesama Pembangkang ini digarap sehingga berjaya menerobos ke Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang selain mengekalkan Kelantan. Apa yang menarik dari dapatan PRU-13 ini, bukan Parti Pembangkang tetapi rakyat yang memutuskan bahawa perlu ada kesepakatan lain sebagai alternatif kepada BN agar tidak berlaku kerosakan menggila kepada urus tadbir negara.
7. Momentum ini selanjutnya disulam dengan baik pada Tahun 2013 sehingga Parti Pembangkang buat kali pertama memenangi undi popular walaupun tidak berjaya mengekalkan Kedah dan merampas Perak (setelah peristiwa kudeta).
8. Secara peribadi saya tidak berada di jalanan ketika Peristiwa 1998. Saya hanya melangkah keluar dari Kota Bharu hanya pada Tahun 2005 untuk menyambung pengajian. Bahkan saya mengetahui kisah Tahun 1998 melalui pembacaan dan perbualan dengan mereka yang terbabit.
9. Sudah tentu saya tabik spring kepada sekalian para pendokong dan penyokong reformasi. Harganya dibuang kerja, dihantar jauh ke pedalaman dan dibelasah dengan cota. Saya doakan Tuhan menerima sekalian kerjabuat kalian dalam membantu seorang insan yang dizalimi. Justeru bilamana seorang penzalim dan yang dizalimi berada dalam satu organisasi, saya boleh faham mengapa ada yang tidak dapat menerima keadaan tersebut.
10. Dari itu, seseorang itu harus jelas kompas perjuangan sebelum meletakkan kaki dalam arus perjuangan. Jika seseorang itu melawan kerana ‘objek’ (Anwar) bukan ‘subjek’ (islah sendi utama negara – rejuvenasi kepercayaan rakyat kepada badan kehakiman, pengembalian wibawa SPR, melawan rasuah tanpa pilih kasih sehingga ke akar umbi, menghindari kronisme dan menerjang kleptokrasi, pelaksanaan kek ekonomi yang tidak menekan periuk nasi rakyat, pemartabatan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan tanpa menafikan hak beragama yang lain) maka seseorang itu akan membungkam kecewa dengan memori lama apabila tiba-tiba Mahathir kini bersama dengan Anwar.   
11. Seseorang yang berada dalam kompas perjuangan sebegini, mereka tidak akan sesekali berganjak walaupunbersilih ganti ‘objek’ kerana perjuangan berasaskan ‘subjek’ adalah seutuh-utuh perjuangan dan tidak hanyut dek ombak, tidak surut dek kemarau.
Zaki Sukery

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10210046749874407&id=1506397079

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s