Memorandum GAMIS untuk Amerika

KENYATAAN MEDIA
SERAHAN MEMORANDUM KEPADA DUTA AMERIKA SYARIKAT DI MALAYSIA
30 Syawal 1438H | 24 Julai 2017M
1. Pada minggu yang lalu, dunia telah digemparkan dengan tindakan Zionist Israel yang menghalang rakyat Palestin daripada memasuki Masjid al Aqsa. Buat pertama kalinya berlaku dalam sejarah dunia, Masjid Al-Aqsa ditutup dan umat Islam khususnya dilarang untuk menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.
2. Berikutan daripada tindakan biadab Zionist Israel tersebut, HAMAS serta saudara-saudara kita di Palestin telah mengadakan himpunan aman pada hari Jumaat yang lalu dan apa yang menyedihkan ialah Zionist Israel telah melakukan tindakan di luar batasan dengan membunuh tiga orang rakyat Palestin dan mencederakan ratusan rakyat Palestin lain yang menyertai himpunan aman tersebut.
3.   Kebiadaban rejim Zionist Israel ini bukanlah perkara baru dan hakikatnya ia telah bermula sejak 100 tahun yang lalu melalui peristiwa Istikhrab Baitul-Maqdis di atas perjanjian Sykes-Picot 1916 dan Pengisytiharan Balfour 1917. Perkara yang sama akan berulang sekiranya tiada dalam kalangan kita yang berusaha melakukan sesuatu walaupun sedikit. 
4. Menginsafi akan tanggungjawab kita sebagai saudara mereka, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah memutuskan untuk mengadakan bantahan terbuka dan serahan memorandum kepada Duta Amerika Syarikat di Malaysia sebagai tanda protes ke atas kebisuan kerajaan Amerika Syarikat dan kecaman ke atas tindakan melampau Zionist Israel kepada Umat Islam di Palestin Jumaat lalu.
5. GAMIS menyeru kepada semua mahasiswa dan seluruh rakyat Malaysia agar bersama kami menzahirkan rasa tidak puas hati kita kepada kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh Rejim Zionist ini. Mari melangkah bersama kami dengan hadir pada 27 Julai 2017, hari Khamis, jam 3.00 petang di Bangunan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur.
6. Ayuh kita lakukan ini bersama, mahasiswa Malaysia tidak akan takut kepada sesiapa terutamanya Kerajaan Amerika Syarikat. Hanya Allah yang akan menjadi penghalang kepada langkah kita ini. Allahuakbar!
Sekian. 
‘’Melangkah Bersama Islam’’
MUHAMMAD FAIZZUDDIN BIN MOHD ZAI

Naib Presiden 1,

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

________________

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1563235753726540&id=100001203902221

Leave a comment